PJBM buka peluang jurulatih bola sepak tambah ilmu
PERSATUAN Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menggesa jurulatih negara ini tidak melepaskan peluang menyertai Seminar Kejurulatihan Bola Sepak Antarabangsa 2024 yang akan berlangsung pada 15 dan 16 November depan.
Presiden PJBM, Datuk Ong Kim Swee berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima pendaftaran lebih daripada 100 jurulatih, masih membuka pendaftaran.
"Seminar ini terbuka kepada semua jurulatih di Malaysia dan keutamaan adalah kepada ahli-ahli PJBM.
"Tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan dan biarpun sudah melepasi sasaran awal 100 orang peserta, kita masih membuka penyertaan bagi memberi peluang kepada lebih ramai jurulatih.
"Ini kerana, selain mendapat input-input penting daripada seminar ini, para peserta juga akan mendapat 15 jam kredit bagi lesen kejurulatihan mereka dan menerima sijil penyertaan," katanya.
Kata Kim Swee, seminar selama dua hari di Hotel Armada, Petaling Jaya itu yang akan menampilkan empat penceramah (speaker) yang berpengalaman dan profesional.
“Kita menjemput Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) iaitu Masanaga Kageyama; Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell; Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Oscar Gonzalez serta jurulatih kecergasan skuad B-23 negara, Oscar Balaguer Cabeza sebagai speaker.
“Antara lain, seminar ini sedikit sebanyak akan memperkatakan mengenai sistem kejurulatihan moden. Seminar ini merupakan antara program anjuran PJBM untuk tahun ini,” jelasnya.
Bagi jurulatih yang masih belum mendaftar dan berminat untuk menyertai seminar ini, sila hubungi PJBM menerusi e-mel di pjbm@fam.org.my atau WhatsApp ke 014-3709377.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!