SJKC Yuk Chai rangkul Anugerah Khas Kelestarian Alam oleh KDEBWM

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Kelestarian Alam oleh KDEBWM kepada SJKC Yuk Chai sempena Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2024 di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Kelestarian Alam oleh KDEBWM kepada SJKC Yuk Chai sempena Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2024 di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Petaling Jaya berjaya merangkul Anugerah Khas Kelestarian Alam oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) menerusi pertandingan video pendek sempena Festival TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2024.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEBW, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, video berdurasi lima minit itu berjaya menambat hati para juri dengan pengisian yang merangkumi pelbagai aspek alam sekitar seperti udara, air dan pengurusan sisa.

Menurutnya, konten video itu juga turut memaparkan inisiatif pihak sekolah dan pelajar untuk mengitar semula barangan dengan menggunakan mesin kompos sendiri serta usaha mereka melaporkan kepada pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Kriteria yang dititikberatkan oleh KDEBWM dalam video peserta seperti kitar semula dan bagaimana mereka membuat pengasingan sampah sebelum dihantar ke pusat pelupusan.

“Bagusnya peserta cilik ini, mereka tahu amalan yang perlu bermula dengan pengasingan terlebih dahulu, malah menonjolkan bagaimana nak mengguna semula sampah tersebut tanpa pelu buang ke pusat pelupusan.

“Kami juga nampak kesungguhan peserta ini untuk menghasilkan sesuatu produk dengan mengggunakan sampah berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis penyampaian hadiah di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli dan Editor Eksekutif Gaya Hidup dan Hiburan Sinar Harian, Meen Tahrin.

Artikel Berkaitan:

(Tiga dari kiri) Zamri, Mahfuzah dan Farah mendengar ucapan ketika Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2024 di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
(Tiga dari kiri) Zamri, Mahfuzah dan Farah mendengar ucapan ketika Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2024 di Kompleks Karangkraf pada Rabu.



Sebagai rekod, festival dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tersebut melibatkan penyertaan murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Festival berkenaan bertujuan meningkatkan kemahiran digital, inovasi dan komunikasi pelajar terutama sekali dalam bidang pengucapan awam, aspek kewartawanan, penulisan berita serta elemen lain sepanjang menghasilkan bahan berita.

Mengulas lanjut, Mahfuzah berkata, idea yang ditunjukkan dalam video itu dapat membantu rakyat Malaysia untuk memahami atau membuat pengamalan pengurusan sisa pepejal dengan cara yang betul.

“Sebab kadang-kadang kita tahu mengenai sesuatu maklumat tetapi kita tidak mengamalkan, jadi dengan kesedaran yang dipaparkan dalam video, ia memberi kesedaran kepada pelajar, guru-guru, sekolah dan ibu bapa untuk mencontohi amalan ini.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan memandangkan ia sangat bagus untuk menyuntik semangat kanak-kanak untuk terus berkarya melalui platform digital.

“Pengolahan dan kandungan yang berkualiti seperti isu kelestarian alam ini perlu diketengahkan untuk memberi kesedaran yang meluas kepada orang ramai dalam menuju ke arah negara maju yang bersih,” ujarnya.

Permulaan hasilkan video kesedaran alam sekitar

Sementara itu, wakil murid sekolah berkenaan, Che Zaara Afizul Aezwan, 12, berkata, kemenangan yang tidak disangkakan tersebut menjadi titik tolak untuk menghasilkan kandungan video berkualiti mengenai alam sekitar pada masa hadapan.

Che Zaara (kiri) bersama rakan-rakannya menanti majlis penyampaian hadiah sempena Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2024 di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Che Zaara (kiri) bersama rakan-rakannya menanti majlis penyampaian hadiah sempena Festival TV PSS Peringkat Kebangsaan 2024 di Kompleks Karangkraf pada Rabu.



Ujarnya, video bertajuk ‘Aksi Kecil, Impak Besar, Pulihkanlah Bumi Kita’ merupakan hasil gabungan idea bersama gurunya, Khor Chien Chien, 36, serta Liew Lee San, 34, dan mengambil masa lebih kurang satu minggu untuk disiapkan.

“Saya tak sangka kami akan menang kerana tidak tahu ada anugerah khas. Saya sangat bersyukur dan gembira apabila penat lelah kami akhirnya membuahkan hasil.

“Sebenarnya, di sekolah kami memang sudah ada kempen kitar semula dengan menggunakan mesin kompos sendiri, jadi kami fikir lebih baik masukkan dalam video.

“Tujuan utama video ini sebenarnya untuk mendidik orang ramai mengitar semula barangan kerana bukan semua perlu dibuang dan mungkin ada yang kita boleh pakai semula,” katanya.

Dalam pada itu, Che Zaara menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru-guru, sekolah, pihak penganjur dan juga KDEBWM kerana memberikan peluang tersebut.

“Saya sangat berterima kasih kepada guru-guru dan rakan saya iaitu Oliver Gan Qi Her, Emma Goh Zi Rou dan Lolotea Lim Yuu Tang yang masing-masing berumur sembilan tahun kerana terlibat menjayakan video tersebut.

“Terima kasih juga buat KDEBWM kerana telah memilih kami sebagai penerima anugerah khas ini,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!