Buli: Kementerian Pertahanan tambah jumlah warden pantau pelajar

Adly (depan, tengah) bersama warga sekolah pada program Pertandingan e-Sports Sekolah Dalam Kem (SDK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak di Melaka pada Khamis. Foto Bernama
Adly (depan, tengah) bersama warga sekolah pada program Pertandingan e-Sports Sekolah Dalam Kem (SDK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak di Melaka pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pertahanan mengambil beberapa langkah dan peraturan dalam usaha membendung insiden buli sehingga mengakibatkan kecederaan atau kematian dalam kalangan pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) daripada berulang, pada masa hadapan.

Timbalannya, Adly Zahari berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan ialah kawalan keselamatan dengan meningkatkan jumlah warden yang menjaga pelajar, agar lebih banyak tumpuan dapat diberikan kepada mereka.

"Kita tidak menerima kes buli yang berlaku dalam institusi pengajian tinggi dan kita tahu bahawa ia (buli) boleh berlaku antara pelajar dengan pelajar atau antara pelajar dengan pihak lain, tetapi kalau kita lihat dalam kes-kes sebelum ini, ia berlaku antara pelajar dengan pelajar.

"Jadi, di peringkat Kementerian Pertahanan, kita telah bincangkan dari awal lagi dalam kes sebelumnya bahawa, kita perlu tingkatkan hubungan antara warden dan pelajar dengan menambah bilangan warden,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pertandingan e-Sukan Sekolah Dalam Kem (SDK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Sekolah Menengah Kem Terendak di sini pada Khamis.

Adly berkata, pihak kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang insiden buli yang berlaku di UPNM dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata, bagaimanapun sekiranya terdapat laporan polis dibuat, ruang kerjasama akan diberikan sepenuhnya bagi membantu siasatan berdasarkan undang-undang.

ATM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

Difahamkan, perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas ketika itu, selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Pertandingan e-Sukan SDK ATM bertujuan memperkasakan pendidikan sukan elektronik bagi anak-anak warga kerja pertahanan, serta memupuk bakat dan minat dalam bidang berkenaan yang semakin berkembang pesat.

Program itu juga bertujuan memberikan pendedahan kepada ekosistem baharu melalui pameran industri dengan bantuan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Esports Integrated (ESI) dan Games Bond International Sdn Bhd, serta berkeupayaan menampilkan atlet e-Sukan di peringkat kebangsaan.

Pertandingan berlangsung selama dua hari bermula semalam itu, melibatkan 32 kumpulan

dengan jumlah penyertaan sebanyak 128 pelajar tingkatan satu hingga empat dan jenis e-Sukan Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG Mobile). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!