Vesel nelayan tempatan langgar syarat sah lesen
KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah vesel nelayan tempatan selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di Pelabuhan Klang, di sini, pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan pada jam 10.30 malam itu menerusi Op Ehsan, Op Tiris 3.0 dan Op Kasmar 02/2024.
"Hasil pemeriksaan mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga tempatan berusia 20 hingga 57 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Abdul Muhaimin berkata, kesemua kru dan vesel dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan di bawah lima batu nautika dari pantai tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan Abdul Muhaimin berkata, sebuah kapal tangki ditahan pihaknya kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan pada hari sama.
"Kapal tangki itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Sekinchan pada jam 5 petang," katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, seramai 13 kru terdiri daripada enam warga Myanmar, empat warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia berada di atas kapal tangki itu.
"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dokumen mendapati, nakhoda kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia ketika diperiksa," katanya.
Menurutnya, nakhoda kapal berusia 56 tahun dan ketua jurutera, 39 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!