Keluarga pelajar maut dirempuh kereta ambil tindakan undang-undang
HULU SELANGOR - Keluarga kepada Allahyarham Muhammad Adib Irfan Mohd Rozali, 13, yang maut dirempuh sebuah kereta Toyota Vios semasa dalam perjalanan ke sekolah, pada Selasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa bertanggungjawab dalam kejadian terbabit.
Ibunya, Emilia Tarmidi, 44, berkata, dia dan suaminya, Mohd Rozali Ibrahim, 53, telah melantik peguam bagi mengendalikan kes berkenaan.
Menurutnya, tindakan perundangan itu diambil bagi memastikan pembelaan sewajarnya terhadap Allahyarham Muhammad Adib.
"Hari ini (Khamis), kami akan bertemu dengan peguam bagi menuntut keadilan terhadap kejadian yang telah meragut nyawa anak kandung saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gesir Tengah di sini pada Khamis.
Menurut Emilia, sehingga kini, pihak yang melanggar anaknya itu masih belum berjumpa dengan keluarganya bagi menyatakan permohonan maaf akibat kejadian tersebut.
"Kejadian berlaku dua hari lalu, namun sehingga kini, saya belum didatangi pihak terbabit," ujarnya.
Katanya, keluarga turut menafikan Allahyarham Muhammad Adib dilanggar kereta itu semasa melintas untuk mengejar bas di tepi jalan.
"Arwah dilanggar kereta dari tepi jalan sebelum bas sampai dan mustahil dia melintas untuk mengejar bas seperti didakwa, selain menyaksikan sendiri bas sampai lima ke 10 minit selepas kejadian menimpa anak saya.
"Kalaulah arwah anak saya dilanggar semasa sedang melintas, sudah tentu dia mengalami kecederaan teruk di bahagian tangan, kaki dan anggota badan lain, tetapi dia hanya cedera parah di bahagian kepala sahaja," ujarnya.
Mengimbau semula kejadian itu, Emilia memberitahu, kejadian kira-kira jam 6.50 pagi Selasa itu berlaku sewaktu dia sedang bersiap di rumah untuk menghantar dua lagi anaknya berusia lapan dan 11 tahun di sebuah sekolah kebangsaan.
"Saya dimaklumkan kenalan yang datang ke rumah memberitahu Muhammad Adib terlibat kemalangan.
"Masa itu, hati saya jadi tak tenang hingga menyebabkan saya terjatuh dari tangga rumah dan terseliuh pada kaki kiri," ujarnya.
Emilia memberitahu, jarak tempat kejadian ke rumahnya itu hanyalah kira-kira 500 meter dan terus bergegas ke lokasi.
"Saya kuatkan hati untuk melihat anak dan terkejut sebaik sampai di tempat kejadian dia sudah terbaring berlumuran darah.
"Saya pangku arwah hampir 30 minit di tepi jalan itu dan bisikkan dua kalimah syahadah kepadanya walaupun dalam lemah selepas darah tersembur keluar daripada mulut, hidung dan telinganya," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, Allahyarham Muhammad Adib disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke klinik terdekat.
"Semasa itu, kami tidak sempat untuk menunggu ambulans dan mengambil keputusan terus membawanya dengan kenderaan sendiri bagi mendapatkan rawatan segera, namun ALLAH lebih menyayanginya apabila arwah meninggal dunia atas riba saya.
"Sehari sebelum dia meninggal dunia, Muhammad Adib datang ke arah saya dan sempat baring di riba saya, namun tidak menyangka kali ini dia baring dan pergi buat selamanya," jelasnya.
Katanya, Allahyarham anak ketiga daripada lima beradik itu disifatkan sebagai anak yang periang dan ringan tulang bagi membantu keluarga.
Ujarnya, tiada perubahan pelik berlaku kepada Allahyarham Muhammad Adib, namun perasan dia bersungguh-sungguh mengangkat barang persiapan perkahwinan ibu saudara yang akan berlangsung pada Januari tahun depan.
"Dia mengangkat barang bawa masuk bilik dengan bersungguh-sungguh seolah-olah macam tiada hari esok untuknya lagi.
"Saya juga dimaklumkan rakan Allahyarham minggu sebelum kejadian, dia mengikuti aktiviti tabligh di kampung.
"Arwah memang rapat dengan saya, walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, namun jauh di sudut hati tetap merinduinya.
"Saya bersyukur kerana proses kematian arwah dipermudahkan dan dikebumikan kira-kira jam 5 petang hari sama di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gesir Tengah, " katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim memaklumkan, pelajar tingkatan satu itu maut ketika melintas jalan selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Kampung Gesir Tengah di sini pagi Selasa.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar jam 7.40 pagi dan kenderaan terlibat ditahan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!