Monsun Timur Laut: JKM agih 224.296 tan makanan kering di Pahang

Foto hiasan (Gambar kecil: Khairul Amri)
Foto hiasan (Gambar kecil: Khairul Amri)
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 224.296 tan makanan kering telah diagihkan kepada 165 pangkalan hadapan di seluruh Pahang sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula pada Selasa.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, bekalan makanan yang diagihkan ke semua pangkalan hadapan melibatkan peruntukan sebanyak RM3.3 juta.

Menurutnya, penghantaran bekalan disesuaikan mengikut keperluan setiap kawasan dan setiap pangkalan hadapan menerima bekalan untuk tempoh antara tiga hingga 14 hari bergantung kepada lokasi.

"Sebagai contoh, kawasan terputus hubungan seperti Pulau Tioman, Rompin akan menerima bekalan untuk tempoh 10 hari.

"Bagi kawasan pedalaman seperti Ulu Tembeling, Jerantut, diberikan bekalan untuk tempoh 14 hari bagi memastikan kelangsungan bantuan semasa bencana," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Khairul Amri menambah, pihaknya turut menyediakan bantuan bencana lain yang merangkumi makanan sedia dimakan dan barang keperluan asas seperti toto, tikar, selimut, tuala mandi, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, kain batik dan kain pelikat.

"Kita juga menghantar penghantara kit kesihatan dan kit makanan di semua stor bencana di daerah-daerah di negeri ini, bagi memastikan kelengkapan asas tersedia sepanjang tempoh MTL.

"Malah, sebanyak 861 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri telah didaftarkan dan ia akan menempatkan mangsa bencana sekiranya diperlukan," jelas beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan musim tengkujuh di Malaysia bermula 5 November dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh berkenaan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!