Polis siasat kes pelajar maut jatuh tingkat empat bangunan sekolah
SEREMBAN - Polis telah pun memanggil beberapa saksi termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di sini bagi membantu siasatan kes seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah itu yang maut terjatuh dari tingkat empat bangunan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, buat masa ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Polis telah menerima maklumat kejadian jam 7.11 pagi dan siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup yang diperolehi mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah.
"Setakat ini beberapa saksi pelajar dan guru yang melihat kejadian telah dipanggil untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, pelajar terbabit telah mengalami beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala, bahu kanan dan muka.
Tambahnya, punca kematian adalah disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.
"Ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.
"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut boleh menghubungi IPD Seremban di talian 06-6033222 atau Ketua Polis Balai Campbell di talian 012-7707282," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!