CAP gesa ambi tindakan terhadap MP merokok di Parlimen
GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa terhadap sikap beberapa ahli Parlimen yang merokok di kawasan larangan di Parlimen baru-baru ini.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, perbuatan itu dilihat amat memalukan.
“Ini adalah sesuatu yang memalukan.
“CAP mahu Speaker Dewan Rakyat mengambil tindakan tegas terhadap ahli Parlimen yang melanggar peraturan dengan merokok di kawasan larangan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa, masih terdapat ahli Parlimen yang tidak menghormati peraturan ditetapkan dengan merokok dalam bangunan Parlimen walaupun larangan telah dikeluarkan.
Beliau membangkitkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar kempen tidak merokok juga dilaksanakan seiring dengan amalan mengurangkan gula dalam makanan yang digerakkan.
Menurut Poay Tiong, ahli Parlimen terlibat sepatutnya lebih sensitif dengan tidak merokok di bangunan Parlimen yang memberi kesan kepada individu tidak merokok.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata, ahli Parlimen sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
"Mereka (ahli Parlimen) adalah pihak yang menyokong Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah berkuat kuasa sejak 1 Oktober. Mereka sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat.
“Bagaimanapun, apa yang berlaku, sebaliknya. Mereka mengabaikan larangan merokok di kawasan Parlimen dan ini memberikan contoh yang buruk kepada masyarakat luar," tambahnya.
Oleh demikian, beliau berkata, CAP menggesa pegawai Kementerian Kesihatan untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap mereka yang merokok di kawasan larangan di Parlimen.
"Mereka yang merokok di kawasan itu perlu dikenakan denda maksimum RM5,000 di bawah Akta 852,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!