Kes buli UPNM: PDRM tunggu hasil siasatan dalaman MINDEF
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu laporan dapatan siasatan dalaman Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung kes seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, ditekap seterika yang akan dibentang pada Jumaat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dapatan dan keputusan Lembaga Siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu perlu dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan dan arahan lanjut.
"Setakat ini, kita masih menunggu arahan Peguam Negara selepas kertas siasatan lengkap diserahkan kepada jabatan itu untuk semakan, pada Selasa.
"Kertas siasatan polis kini dalam proses semakan pihak Peguam Negara yang mungkin boleh berakhir dengan pertuduhan di mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman Sehingga 50 Peratus di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di sini, pada Khamis.
Rusdi berkata, hasil siasatan dalaman itu pula mungkin boleh berakhir tindakan dibuang daripada program atau dibuang asrama.
"Ada dua situasi, kadang-kadang keputusan daripada siasatan dalaman itu boleh dipertimbangkan untuk keputusan siasatan polis, kadang-kadang tindakan berasingan," katanya.
Pada Rabu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan dapatan siasatan berhubung kes berkenaan akan dibentangkan jawatankuasa siasatan Jumaat ini.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, siasatan akan dimuktamadkan dan hasil siasatan akan dibentang dalam satu mesyuarat bersama lembaga siasatan.
Sebelum ini, polis merakam keterangan 16 individu membabitkan mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!