PAC syor JPM kaji kerelevanan MPN

Mas Ermieyati. Foto Bernama
Mas Ermieyati. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji sama ada kewujudan Majlis Profesor Negara (MPN) masih relevan sebagai penggerak kepakaran tenaga akademik dalam membantu kerajaan membangunkan negara.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG), MPN perlu diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berdasarkan fungsi dan peranannya.

"Lanjutan daripada syor ini, JPM perlu memaklumkan PAC perkembangan mengenai keputusan kerajaan berhubung status MPN sama ada kekal sebagai agensi CLBG di bawah kerajaan atau sebaliknya dalam prosiding tindakan susulan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 mendedahkan MPN menyalahgunakan pembiayaan kewangannya selain amalan tadbir urus korporat berada pada tahap tidak memuaskan.

Mengikut laporan itu, MPN membuat pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Mas Ermieyati berkata, keberkesanan dan fungsi MPN kepada kerajaan tidak dapat ditentusahkan, selain aktiviti yang dilaksanakan tidak mengikut matlamat penubuhannya.

Beliau berkata, perkara itu antara lain kerana petunjuk prestasi utama (KPI) yang tidak ditentukan dan tidak dilaporkan kepada JPM serta dana yang tidak disalurkan kepada kluster/chapter.

MPN ditubuhkan pada 2010 bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik berpengalaman untuk membantu kerajaan dalam agenda pembangunan negara dan diletakkan di bawah KPT.

Artikel Berkaitan:

Ia diletakkan di bawah JPM pada 21 Mac 2014 dan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai sebuah CLBG untuk membolehkan ia beroperasi sebagai sebuah entiti bebas, berautonomi, serta bergerak merentasi sempadan kementerian.

Namun, pada 2018 badan pemikir itu dikeluarkan daripada seliaan JPM sebelum kerajaan mengumumkan MPN kembali diiktiraf sebagai agensi bawah JPM pada 8 November 2021. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!