MSU melonjak 26 kedudukan dalam QS World University Rankings: Asia 2025
SHAH ALAM - Management and Science University (MSU) berjaya mencatatkan peningkatan sebagai universiti terbaik Asia apabila melonjak 26 anak tangga dan berada pada kedudukan ke-129 berdasarkan laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2025.
MSU dalam satu kenyataan berkata, tahun ini institusi itu berada pada kedudukan ke-155 berbanding ke-177 pada 2023, sekali gus membuktikan MSU konsisten dalam kedudukan berkenaan sejak 2018.
"Ia turut menjadi indikator penting dalam usaha pihak universiti untuk memperkasakan kualiti dan akses pendidikan tinggi serta inisiatif pengantarabangsaan di peringkat global.
"Pencapaian ini turut memperkukuhkan kedudukan MSU dalam kalangan universiti terbaik di rantau Asia Tenggara apabila berada pada anak tangga ke-28.
"Pencapaian ini melengkapkan kedudukan MSU yang disenaraikan pada kedudukan ke-580 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings (WUR) 2025," katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, penilaian QS World University Rankings: Asia 2025 masih memfokuskan 11 indikator utama iaitu Academic Reputation (30 peratus), Employer Reputation (20 peratus) dan Faculty Student Ratio (10 peratus), Citations per Paper (10 peratus).
Tambah beliau, ia termasuk International Research Network sebanyak 10 peratus; Papers per Faculty (lima peratus), Staff with PhD (lima peratus), International Student Ratio (2.5 peratus), International Faculty Ratio (2.5 peratus), Inbound Exchange Students (2.5 peratus) dan Outbound Exchange Students (2.5 peratus).
"Secara keseluruhannya, penarafan QS Asia University Ranking 202 menyaksikan MSU memperolehi skor terbaik bagi indikator Outbound Exchange Students (skor 100, kedudukan ke-7), International Student Ratio (skor 100, kedudukan ke-15), International Faculty Ratio (skor 99.9, kedudukan ke-22) serta Inbound Exchange Students (skor 99.6, kedudukan ke-26).
"QS Quacquarelli Symonds ialah agensi berpangkalan di United Kingdom yang membuat penarafan tahunan universiti bagi 2025 dengan melibatkan 984 universiti terbaik dari 25 negara Asia.
"Ia merangkumi rantau Asia Tengah, Asia Timur, Asia Tenggara serta Asia Selatan iaitu peningkatan sebanyak 127 institusi berbanding dari tahun 2024," jelasnya.
Tambah kenyataan itu, QS World University Rankings: Asia 2025 menyenaraikan 40 universiti di Malaysia pada edisi ke-16 dimana 21 institusi berada dalam kalangan 200 universiti terbaik Asia melibatkan 11 universiti awam dan 10 swasta.
Ujarnya, kejayaan tersebut membuktikan MSU berada di landasan tepat dengan matlamat dan visi utama dalam melahirkan graduan yang mempunyai personaliti seimbang, holistik dan kompeten serta mencapai standard di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, aspek pembangunan minda graduan yang berkemahiran berfikir aras tinggi turut diberikan penekanan melalui penerapan indikator seperti jalinan industri, penerapan elemen keusahawanan, warga global melalui program mobiliti dan komponen penyelidikan.
"Ini termasuklah elemen kelestarian atau SDG dan kebudayaan inklusif merentasi komuniti, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.
"Seterusnya memainkan peranan penting ke arah memperkasa masa depan dan menyediakan akses pendidikan kepada semua peringkat lapisan masyarakat sama ada di Malaysia serta global selaras dengan moto universiti iaitu 'Transforming Lives, Enriching Future'," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!