MyLesen diteruskan, beri manfaat kepada belia, B40

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media Majlis Perasmian Penutup Program MyLesen Negeri Selangor 2024 di Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor pada Khamis. Foto Bernama
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media Majlis Perasmian Penutup Program MyLesen Negeri Selangor 2024 di Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu di bawah Program MyLesen pada tahun depan dengan jumlah peserta dijangka turut meningkat khususnya belia dan golongan B40.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menerima lebih 130,000 permohonan bagi program MyLesen pada tahun ini.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 41,853 permohonan yang diterima didapati layak untuk menyertai program tersebut setelah menerusi tapisan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Berdasarkan kepada rekod, sehingga hari ini, lebih 26,000 telah berjaya memperolehi lesen memandu B2, PSV E-Hailing, PSV Bas dan GDL Lori di bawah Program MyLesen Tahun 2024.

"Jumlah tersebut juga akan meningkat hingga hujung tahun 2024 memandangkan terdapat peserta yang sedang menyelesaikan latihan dan ujian yang telah ditetapkan," ujarnya.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN Peringkat Negeri Selangor Tahun 2024 di Arena Juara, JPJ Negeri Selangor di Jalan Padang Jawa, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, bagi peringkat Negeri Selangor seramai 2,645 peserta ditawarkan sebagai penerima manfaat dan 2,190 peserta telah berjaya memiliki lesen B2, PSV E- Hailing, PSV Bas dan GDL Lori.

"Saya difahamkan penerima Program MyLesen Peringkat Negeri Selangor bukan sahaja terdiri daripada golongan tinggal di kawasan bandar tetapi meliputi penduduk kawasan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada itu, penerima MyLesen B2 (Motosikal) Peringkat Negeri Selangor ini juga melibatkan para pelajar untuk memudahkan pergerakan ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program MyLesen merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memberi manfaat secara berterusan kepada golongan sasar dalam negara.

"Menerusi pembentangan Belanjawan Madani Tahun 2025 diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, kerajaan akan meneruskan bantuan lesen motosikal kepada 15 ribu anak muda kurang mampu seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.

"Inisiatif berterusan ini bukan sahaja semata-mata untuk memberi lesen memandu kepada mereka yang layak tetapi juga untuk memberi kesedaran terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya," ujarnya.

Ujarnya lagi, kerajaan turut menaruh harapan dengan sokongan daripada semua institut memandu agar usaha berterusan ini untuk sentiasa mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan sentiasa mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!