Trump kebal sementara hingga 2029

Trump ketika hadir prosiding di Mahkamah Jenayah Manhattan di New York pada 30 Mei lalu. Foto Agensi
Trump ketika hadir prosiding di Mahkamah Jenayah Manhattan di New York pada 30 Mei lalu. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Donald Trump bakal menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang mengambil alih jawatan ketika masih berdepan beberapa kes jenayah.

Kemenangan Trump, 78, pada Rabu secara dasarnya akan menghapuskan kes jenayah yang dikemukakan ke atas beliau apabila beliau menjejakkan kaki semula ke Rumah Putih.

Hal ini kerana, jawatan tertinggi itu akan memberi kekebalan daripada sebarang pendakwaan untuk sepanjang empat tahun penggal pentadbirannya.

Susulan itu, Jabatan Kehakiman (DoJ) sedang menilai cara untuk menangguhkan kes yang difailkan Peguam Khas, Jack Smith berdasarkan dasar termaktub di bawah kuasa Perlembagaan yang memberi imuniti kepada Presiden yang sedang berkhidmat.

Menerusi wawancara pada akhir bulan lalu, Trump mengancam untuk memecat Smith yang mengetuai pendakwaan persekutuan dalam masa dua saat sejurus beliau dilantik sebagai Presiden ke-47 AS.

Sebelum ini, Trump mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang didakwa bermotifkan politik semata-mata.

Peguam kepada bilionair hartanah itu juga bakal mengemukakan permohonan kepada Hakim Juan Merchan untuk menangguhkan hukuman yang dijadualkan pada 26 November ini dan beberapa lagi perbicaraan lain.

Pakar undang-undang percaya prosiding itu akan ditangguhkan kerana hukuman yang diputuskan ke atas bakal Presiden menjelang majlis angkat sumpah jawatan merupakan perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah AS.

Artikel Berkaitan:

Imuniti sementara yang dipegang beliau bakal menyaksikan beberapa kes jenayah melibatkan Trump hanya akan dibicarakan semula selepas penggal pentadbirannya berakhir pada 2029. - Agensi

Info:

>Pada Mei lalu, Trump disabitkan dengan 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan yang berkaitan pembayaran wang menutup mulut kepada bekas bintang porno, Stormy Daniels.

>Pada tahun lalu, Peguam Khas, Jack Smith mendakwa Trump cuba membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020 setelah tewas kepada Presiden Joe Biden.

>Smith turut mengetuai kes berkaitan pengendalian dokumen sulit kerajaan secara salah selepas Trump meninggalkan Rumah Putih pada 2020. Presiden ke-45 AS itu didakwa menyimpan dokumen sensitif di kediaman peribadinya, Mar-a-Lago malah menghalang usaha Jabatan Kehakiman yang cuba mendapatkan semula fail tersebut.

>Trump juga berdepan kes jenayah di Georgia berhubung cubaan beliau untuk membatalkan keputusan pilihan raya di negeri itu ketika kekalahannya pada 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!