Dua beranak maut ditikam di hadapan lif
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita dan bapanya maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di Ayer Itam pada jam 12.54 tengah hari Khamis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa wanita berusia 30 tahun manakala bapanya berusia 62 tahun disahkan meninggal duni di lokasi kejadian akibat parah.
Menurutnya, sebelum itu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu membawa pisau dan berada dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri berkenaan.
"Selepas menerima maklumat, anggota polis ke lokasi iaitu di hadapan lobi lif pangsapuri tersebut dan menjumpai tiga orang warga tempatan terbaring dalam keadaan berdarah di atas lantai.
"Mangsa adalah dua beranak iaitu anak perempuan dan bapanya telah disahkan meninggal dunia. Sementara seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai suspek juga terbaring dalam keadaan berlumuran darah berdekatan dua beranak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hamzah berkata, suspek mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri.
"Suspek telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Dengan tertangkapnya suspek dan rampasan senjata yang digunakan (untuk membunuh kedua-dua mangsa), maka kes ini telah berjaya diselesaikan," tambahnya.
Menurutnya, polis sedang menyiasat motif kejadian daripada pelbagai sudut.
"Kita mohon juga saksi awam yang melihat kejadian secara jelas untuk tampil membantu dalam siasatan.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini di media sosial sehingga boleh menjejaskan siasatan polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!