Kamala Harris ikrar peralihan kuasa secara aman

Harris kelihatan tenang berucap di hadapan para penyokongnya di Howard University di Washington. Foto Agensi
Harris kelihatan tenang berucap di hadapan para penyokongnya di Howard University di Washington. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Calon Presiden Parti Demokrat, Kamala Harris berjanji untuk memastikan peralihan kuasa secara aman kepada Donald Trump.

“Kita perlu terima keputusan ini dengan terbuka. Saya sudah menghubungi Trump untuk memberi ucapan tahniah atas kemenangannya,” kata Harris ketika berucap di alma mater beliau, Howard University di Washington.

Naib Presiden itu juga sempat menyindir Trump apabila menyatakan tindakan menghormati keputusan pilihan raya adalah faktor yang membezakan demokrasi dengan monarki atau pemerintahan kuku besi.

Pada 2020, pesaingnya yang mewakili Parti Republikan (GOP) tidak dapat menerima kekalahan di tangan Presiden Joe Biden hingga melemparkan tuduhan kononnya berlaku penipuan undi.

Menerusi ucapannya, Harris, 60, turut menggesa para penyokong beliau supaya terus memperjuangkan idea mereka meskipun kemenangan tidak berpihak kepada Demokrat.

“Saya tahu ramai yang melihat kita sedang memasuki 'era gelap'. Tetapi, untuk manfaat kita semua, saya berharap tidak sebegitu,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Biden turut menelefon Trump untuk mengucapkan tahniah dan mengundang bakal penggantinya untuk mengadakan pertemuan.

Presiden ke-44 AS, Barack Obama juga meraikan kemenangan Trump dan berharap peralihan kuasa yang lancar tanpa sebarang insiden yang berisiko menggugat demokrasi negara itu. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!