Kedah pertimbang permohonan PLSM mahu pulau di Sungai Muda
SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah sedang mempertimbangkan permohonan Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) bagi mendapatkan pemilikan sebuah pulau yang terbentuk di sungai berkenaan untuk dibangunkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pulau berkeluasan 2.1 hektar itu terbentuk selepas baraj di sempadan Kedah dibangunkan, cukup unik dan strategik dengan kedudukan berada di sempadan negeri Kedah dan Pulau Pinang.
"Kita sedang mempertimbangkan permohonan itu dari segi 'pro and cons', adakah kita nak lepaskan tanah itu kepada Kerajaan Persekutuan ataupun kita nak kekalkan milikan tanah kerajaan negeri tetapi kita beri kebenaran untuk mereka gunakan.
"Jadi lebih baik kita buat pertimbangan yang munasabahlah," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah pada Khamis.
Jelasnya, lawatan telah dibuat ke pulau berkenaan bagi mendapatkan gambaran secara jelas dan taklimat berhubung perkara itu juga telah disampaikan.
"Saya kata ada dasar baru kerajaan tak payah pemilikan, guna saja, tak payah bayar cukai, bagilah bajet, depa uruslah, kut mana pun dia akan jadi aset kerajaan juga, sama ada aset kerajaan negeri atau aset kerajaan Persekutuan, bukan nak pi mana, duduk situ saja, negeri pun tak boleh jual, tu yang bangunkan.
"Kita alu-alukanlah apa-apa agensi yang terbabit untuk beri bajet kepada PLSM untuk bangunkan tanah tu...kalau depa tak bangunkan, kerajaan negeri akan bangunkanlah...sesuai untuk pusat pelancongan, tengah-tengah sungai, cantik," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan RM7 juta peruntukan bagi penggantian kepada pintu baraj yang rosak tahun lalu.
"Satu baraj rosak, pintu dia terbuka, tujuh lagi tak berfungsi tetapi tertutup menyebabkan paras Sungai Muda surut tiba-tiba dengan begitu mendadak menyebabkan berlaku masalah bekalan air mentah kepada negeri Kedah dan Pulau Pinang tahun lalu.
"Berikutan itu, Jabatan Pengaliran dan Saliran melalui PLSM telah mohon peruntukan kerajaan persekutuan pada masa itu dan telah buat penggantian kepada semua mesin pam dengan kos sebanyak RM7 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!