DSP didakwa bunuh pelajar: Analisis kimia dapati motosikal berlanggar dengan Ativa

Mohd Nazri dibawa ke Mahkamah Tinggi pada hari ketiga perbicaraan kes bunuh yang dituduh terhadapnya. Foto Bernama
Mohd Nazri dibawa ke Mahkamah Tinggi pada hari ketiga perbicaraan kes bunuh yang dituduh terhadapnya. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Seorang pegawai sains memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa hasil analisis kimia mendapati bahagian belakang motosikal Yamaha telah berlanggar dengan bahagian hadapan sebelah kanan kereta Perodua Ativa, dua kenderaan yang terlibat dalam kes pegawai kanan polis didakwa membunuh pelajar sekolah menengah pada Disember tahun lepas.

Burhanuddin Mat Sharif, 45, yang bekerja di Jabatan Kimia Malaysia Negeri Perak itu berkata, analisis itu mendapati terdapat perpindahan bahan bukti yang diambil daripada kedua-dua kenderaan berkenaan.

"Pada 18 Disember 2023 saya telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal Yamaha berwarna hitam putih bernombor pendaftaran WUT 7980 dan kenderaan utiliti sukan Perodua Ativa putih bernombor pendaftaran SWF 5759.

"Semasa menjalankan pemeriksaan motosikal Yamaha saya mendapati kerosakan penting di bahagian belakang iaitu plastik tapak nombor plat belakang pecah, lampu belakang pecah dan tanggal, koyakan pada sisi kiri tayar belakang dan ekzos motor tiada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya dalam perbicaraan hari ketiga kes pegawai kanan polis Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak didakwa membunuh seorang pelajar 17 tahun Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie pada 15 Disember tahun lepas.

Burhanuddin membaca pernyataan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memanggil saksi ketujuh tersebut selepas perbicaraan ditangguhkan pada sesi petang, hari ini.

Burhanuddin berkata, selepas pemeriksaan, beliau mengambil spesimen daripada motosikal Yamaha berkenaan untuk dianalisis termasuk kepingan cat asing berwarna putih yang ditanda sebagai Y1, plastik bercat hitam (Y2) dan dua spesimen getah tayar belakang (Y3).

"Semasa memeriksa kenderaan utiliti sukan Perodua Ativa berwarna putih pula saya mendapati kerosakan penting di bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan iaitu lampu depan sebelah kanan pecah, kesan calar hitam pada sebelah kanan bampar, bampar depan sebelah kanan sebahagian pecah dan tertanggal.

Artikel Berkaitan:

"Saya kemudian mengambil spesimen dari kenderaan utiliti itu untuk tujuan analisis iaitu cat berwarna putih (P1), palitan bahan asing berwarna hitam (P2) dan kepingan bahan asing berwarna hitam (P3)," katanya.

Beliau berkata, hasil analisis menunjukkan kepingan cat asing berwarna putih daripada motosikal (Y1) adalah sepadan dengan cat dari kereta (P1), sementara palitan dan kepingan bahan asing berwarna hitam juga menunjukkan persamaan antara kedua-dua kenderaan.

Pada hari pertama perbicaraan kes itu Selasa lepas, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz mengemukakan keterangan bahawa tertuduh ialah seorang pemandu kenderaan jenis Perodua Ativa dan mangsa merupakan penunggang motosikal jenis Yamaha semasa kejadian.

Terdahulu pada sesi pagi, saksi keenam seorang jurufoto cawangan D6 IPD Ipoh, Lans Koperal Nik Zamri Ismail, 34, dalam pernyataan berkata beliau telah mengambil 36 keping gambar di lokasi kejadian antaranya gambar tempat suspek mula mengejar mangsa dan lokasi dipercayai pelanggaran berlaku dan tempat asal mangsa dipercayai jatuh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!