Sultanah Nur Zahirah berkenan rasmi Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas

Sultanah Nur Zahirah (dua dari kiri) berkenan melihat ruang pameran Seni Telepok ketika berangkat merasmikan Pameran Pesona Telepuk Seni Persada Emas di Muzium Tekstil Negara hari ini. Foto Bernama
Sultanah Nur Zahirah (dua dari kiri) berkenan melihat ruang pameran Seni Telepok ketika berangkat merasmikan Pameran Pesona Telepuk Seni Persada Emas di Muzium Tekstil Negara hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan merasmikan Pameran Pesona Telepuk: Seni Perada Emas di Muzium Tekstil Negara di sini, hari ini.

Pameran yang telah dibuka kepada orang awam sejak 28 Oktober lepas hingga 31 Disember ini di Galeri Saindera memperagakan 49 koleksi tekstil telepuk, 130 koleksi sarang atau cap telepuk dan empat penerbitan berupa manuskrip dan buku.

Turut dipertontonkan kepada umum koleksi telepuk karya agung (masterpiece) milik kerabat diraja seperti baju sikap, kain setangan dan kain sarung.

Hadir sama dalam majlis hari ini Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Aaron dalam sembah ucapan berkata pameran itu diadakan untuk mengangkat dan mengetengahkan seni telepuk iaitu satu daripada khazanah warisan yang mencerminkan citra budaya negara.

Beliau berkata, pameran itu sebahagian usaha Kementerian Perpaduan Negara dalam menyegarkan kembali seni telepuk yang merupakan satu bentuk seni menghias tekstil tradisional Melayu.

"Hal ini bertepatan dengan dasar Kementerian Perpaduan Negara melalui inisiatif 'Ini Warisan Kita' yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah warisan negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, seni telepuk merupakan kemahiran seni luar biasa dimiliki artisan seni Malaysia yang dihasilkan dengan teknik mengecap kain dengan acuan atau sarang telepuk, lalu diukir dan ditekapkan dengan perada emas menggunakan gam Arab.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, proses menghasilkan telepuk melibatkan empat bentuk kearifan iaitu menenun kain, menggerus kain, mengukir sarang telepuk dan menelepuk.

"Penggunaan kain telepuk di Tanah Melayu dibuktikan melalui rekod dalam pelbagai karya sastera Melayu lama terutamanya perihal adat-istiadat dan peraturan pemakaian diraja serta catatan beberapa penulis Barat.

"Saya berharap pameran ini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik, taat setia dan perasaan cintakan negara dalam kalangan generasi muda sekali gus aset warisan budaya dipelihara dan dijaga dengan baik,” katanya.

Beliau menambah muzium memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri dan perpaduan masyarakat iaitu menerusi khazanah sejarah dan budaya yang dipelihara dan dilindungi institusi itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!