Graduan UniMAP 70 peratus dapat kerja, nikmati gaji lebih RM4,000

Sebanyak 70 peratus graduan UniMAP yang bakal bergraduasi pada Sabtu ini telah mendapat pekerjaan dalam industri. (Gambar kecil: Zaliman)
Sebanyak 70 peratus graduan UniMAP yang bakal bergraduasi pada Sabtu ini telah mendapat pekerjaan dalam industri. (Gambar kecil: Zaliman)
A
A
A

ARAU - Sebanyak 70 peratus graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bakal bergraduasi pada Sabtu ini telah mendapat pekerjaan dalam industri.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, ada antara mereka yang diambil bekerja sebaik tamat latihan praktikal dalam industri.

"Ini membuktikan walaupun belum mendapat keputusan penuh tetapi industri yakin untuk mengambil graduan UniMAP berkhidmat di syarikat mereka.

"Ada antara mereka juga yang menerima gaji premium iaitu RM4,000 ke atas dan mendapat pekerjaan di syarikat terkemuka," katanya ketika sidang media sempena Istiadat Konvokesyen UniMAP kali ke-19 di sini pada Khamis.

Menurutnya, UniMAP juga menyasarkan kebolehpasaran graduan pada tahun ini sebanyak 99 peratus selepas enam bulan mereka bergraduasi.

"Berdasarkan kepada kajian Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) pada tahun 2023 kebolehpasaran graduan UniMAP adalah sebanyak 97.7 peratus.

"Jadi untuk tahun ini dengan usaha yang telah dibuat di peringkat pusat pengajian fakulti dan juga jabatan-jabatan untuk membantu kita berurusan dengan industri termasuk menghantar resume pelajar-pelajar dan menjemput industri mengadakan 'carrier fair' kita meletakkan sasaran 99 peratus," katanya.

Jelasnya, pihak UniMAP juga mengikuti perkembangan graduan secara dekat melalui Pejabat Perhubungan Alumni untuk mengetahui keperluan-keperluan industri.

Artikel Berkaitan:

"Ini supaya kita dapat menambah baik silibus pengajaran di kampus dan pelajar keluaran kita mendapat permintaan dalam industri," ujarnya.

Istiadat konvokesyen yang akan bermula pada 9 November ini menyaksikan seramai 3,298 bakal menerima ijazah masing-masing.

Daripada jumlah itu, 35 peratus adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (19 peratus) manakala 16 peratus Ijazah Sarjana Muda Perniagaan.

Selain itu, 13 peratus graduan dari program Diploma Kejuruteraan; Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (6 peratus); Program Barcelor Profesional (4 peratus); Program Sarjana (3 peratus); Program Doktor Falsafah (2 peratus) ; Program Diploma Profesional (1.5 peratus) dan Program Master Profesional (0.5 peratus)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!