Anwar puji visi China berkongsi masa depan, gesa hubungan dua hala diperkukuh
BEIJING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggariskan kepentingan hubungan Malaysia dengan China dan merujuk prinsip serta aspirasi bersama bagi pembangunan inklusif, tadbir urus baik selain peraturan global yang lebih adil.
Beliau turut mengakui penubuhan Kerjasama Strategik Komprehensif antara Malaysia dan China adalah satu langkah yang penting.
Anwar berkata, visi bersama kedua-dua negara ke arah pembangunan yang inklusif serta mampan adalah selaras dengan Inisiatif Jalur dan Laluan China serta Rangka Kerja Ekonomi Madani Malaysia.
"Rangka Kerja Madani adalah berakar umbi pada kebajikan dan maruah rakyat kita, mengutamakan keadilan sosial, daya tahan ekonomi serta kemampanan,” katanya sambil menggariskan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai ini dalam hubungan dengan China.
Perdana Menteri berkata demikian dalam syarahan umum beliau bertajuk Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order di Universiti Peking di sini.
Rakaman syarahan itu boleh didapati di laman sesawang rasmi Radio Televisyen Malaysia dan akaun Facebook Anwar.
Perdana Menteri, yang memuji pencapaian China dalam transformasi digital, kecerdasan buatan, tenaga hijau dan pembasmian kemiskinan, berkata "Kemajuan yang luar biasa perlu diiktiraf. Ya, terdapat transformasi digital yang amat besar selain kejayaan luar biasa dan kemajuan dari segi ekonomi namun pada masa sama, wujud semangat untuk memperjuangkan hak yang saksama bagi setiap rakyat.”
Anwar, yang meluahkan rasa kagum terhadap komitmen President Xi Jinping kepada keadilan dan multilateralisme, menyifatkan penglibatan beliau dengan pemimpin China itu sebagai "sesuatu yang begitu memberikan inspirasi.”
Beliau turut menekankan kepentingan nilai bersama bagi keadilan, keamanan selain menghormati kepelbagaian budaya yang menggariskan visi global China dan berkata "China memiliki prinsip moral yang tinggi bagi menyokong prinsip masa depan untuk dikongsi bersama berdasarkan pencapaian luar biasanya dalam membasmi kemiskinan tegar.”
Justeru, Anwar menggesa kerjasama antara Malaysia dan China diteruskan dan meminta kedua-dua negara berusaha ke arah perkongsian yang lebih mendalam serta matang berasaskan kepada "pencapaian dan nilai dialog konstruktif terbuka.”
"Kemajuan sebenar adalah apabila kita bergerak melangkaui kata-kata dengan tindakan yang memupuk kepercayaan dan menangani cabaran bersama,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Universiti Peking yang memberikan peluang kepada beliau untuk menyampaikan syarahan itu.
Perdana Menteri kemudian melancarkan edisi Bahasa Cina buku beliau bertajuk SCRIPT: For a Better Malaysia yang menekankan bahawa asas SCRIPT adalah terletak kepada usaha memupuk sebuah masyarakat yang mampan dan penyayang.
"Banyak prinsip serta nilai kemampanan dan pembangunan ekonomi datang bersama-sama perasaan belas kasihan, kemanusiaan, rasa hormat antara satu sama lain dan kepercayaan sesama kita serta terhadap tugas yang perlu kita pikul,” katanya yang melancarkan buku itu di sebuah hotel di sini.
SCRIPT bermaksud Sustainability, Care & Compassion, Respect, Innovation, Prosperity, and Trust - enam nilai rakyat Malaysia yang menjadi teras dokumen hidup ini serta menggariskan visi Anwar ke arah Malaysia yang lebih kukuh dan lebih baik selain menyediakan kaedah untuk membangunkan dasar bersesuaian dengan dunia kontemporari dan semakin kompleks di mana kita tinggal.
Mengimbau asal-usul buku itu, Anwar berkata, SCRIPT diilhamkan semasa beliau berada di dalam penjara.
"Visi ini pada asalnya dibuat semasa saya bercuti, bercuti panjang di dalam penjara.
"Selepas itu, saya dan seorang rakan telah merangka serta menulisnya berdasarkan apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam mencetus perubahan,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan pimpinan beliau dan rakan parti komponen atas usaha bersama mereka dalam menjayakan penerbitan SCRIPT.
Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke China, yang bermula pada 4 November lepas.
Ini merupakan lawatan rasmi ketiga Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas yang pertama pada Mac 2023 dan lawatan susulan pada September.
Lawatan kerja itu, yang bermula di Shanghai, berakhir di Beijing hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!