STI 100³ sedia tenaga kerja mahir masa depan
JELI - Program Sains, Teknologi Inovasi 100 kuasa tiga (STI 100³) yang digerakkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal membina asas kukuh pelajar dalam persediaan tenaga kerja mahir masa depan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafie berkata, STI 100³ dilaksanakan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan 100 saintis turun padang ke 100 sekolah bagi menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
“Program STI 100³ adalah aktiviti pembelajaran bukan formal di luar bilik darjah yang memberi pendedahan pendidikan STEM berkualiti kepada pelajar terutama di kampung dan pinggir bandar.
“Program ini dapat membina asas yang kukuh untuk melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi, sesuai dengan keperluan tenaga kerja bidang STI masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Khamis.
Beliau sebelum itu, hadir pada Program Kasih Bio Sempena Sciensation Bio 2024 @ STI 100 oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Jeli di sini, pada Khamis.
Program dengan bimbingan 10 saintis tempatan terkemuka itu disertai 130 pelajar dari 11 sekolah di sekitar daerah berkenaan.
Turut disampaikan sumbangan kepada 30 keluarga Orang Asli dalam bentuk barangan keperluan asas dan sumbangan zakat kepada 50 pelajar asnaf UMK.
Hadir sama, Ketua Pustakawan UMK, Azman Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak.
Menurut Ruziah, pihak kerajaan, korporat dan institusi pendidikan tinggi akan bekerjasama erat dalam meningkatkan kemajuan bidang STI negara.
“Kerjasama ini dapat memastikan tidak ada mana-mana kelompok masyarakat terpinggir daripada pembangunan ekonomi dan sosial.
“Melalui kemajuan bidang STI juga akan memberi peluang Malaysia diiktiraf sebagai negara maju di mata dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!