Pusat logistik serantau Mercedes-Benz, bukti Johor lokasi pelaburan terbaik
JOHOR BAHRU - Pembukaan Pusat Logistik Serantau Mercedes-Benz Parts Logistics Asia Pacific Sdn Bhd di Senai Airport City (SAC), di sini membuktikan bahawa Johor merupakan antara lokasi terbaik dari segi pelaburan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pembukaan pusat logistik berkenaan secara tidak langsung telah menarik pelaburan berjumlah RM1.5 bilion ke negeri berkenaan.
“Secara keseluruhannya, saya sangat gembira dan berbangga dengan apa yang telah dibuat oleh pihak Mercedes-Benz ini.
“Ia merupakan hasil kolaborasi dengan pihak Kerajaan Persekutuan dan turut dibantu oleh agensi-agensi berkaitan.
“Sebagai contoh, kita boleh lihat Kulai Fast Lane (KFL) yang memiliki inisiatif untuk kita perluaskan dan kita juga jemput pelaburan dan perniagaan lain masuk ke negeri ini dan kita akan bantu,” kepada pemberita.
Onn Hafiz berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan Majlis Pembukaan Pusat Logistik Serantau Mercedes-Benz Parts Logistics Asia Pacific Sdn Bhd di Senai, pada Khamis..
Hadir sama, Ketua Operasi Logistik Mercedes-Benz Parts Global, Klaus Ziemsky dan Pegawai Daerah Kulai, Fizwan Mohd Rashidi.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dengan Singapura dijangka dimeterai sekitar November.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mengikut perancangan, ia dijangka dibuat pada 9 Disember di Putrajaya ketika Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura.
Bagaimanapun katanya, tarikh dan lokasi pemeteraian perjanjian berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM).
"Kita memang menantikan pemeteraian antara kerajaan Malaysia dan Singapura ini, tetapi perincian mengenainya akan kita kongsikan dalam beberapa minggu lagi.
"Saya diberitahu secara tentatifnya (pemeteraian perjanjian) akan dibuat di Putrajaya ketika 'Malaysia-Singapore Leaders Retreat'," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!