Veteran ATM bersara sebelum Januari 2013 terima pelarasan pencen 15 peratus

Mohamed Khaled pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Mohamed Khaled pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpencen sebelum Januari 2013 akan turut menerima kenaikan pelarasan pencen sebanyak 15 peratus selepas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal ini kerana pelaksanaan SSPA yang diumumkan kerajaan kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat, turut melibatkan perkhidmatan ATM termasuk veteran ATM.

"Ini bermakna bagi veteran ATM yang bersara sebelum Januari 2013, pelarasan pencen fasa satu akan dilaksanakan pada Disember 2024 berdasarkan gaji akhir yang bersamaan pada tahun 2012...iaitu sebanyak lapan peratus.

"Setelah gaji SSPA 2024 diperoleh, pelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut formula pencen yang terdapat dalam Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera Tetap 1982. Pelarasan kedua sebanyak tujuh peratus akan dibuat pada awal 2026, menjadikan jumlah pelarasan pencen mereka adalah sebanyak 15 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Kementerian Pertahanan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai perolehan F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohamed Khaled berkata, langkah itu sebagai memenuhi keperluan sementara kerajaan membuat keputusan perolehan aset baharu.

"Pendekatan pengisi kelompangan (gap filler) ini menyebabkan kita tidak perlu menunggu masa yang lama berbanding perolehan aset baharu memandangkan pihak TUDM pada masa yang sama sedang melupuskan pesawat-pesawat sedia ada yang sudah mencapai tahap keusangan dan tidak ekonomik dioperasikan lagi.

"Kalau kita buat tempahan, buat perolehan baharu, ia mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun untuk kita dapat penghantaran pertama dan sebab itu sebagai gap filler oleh kerana kita perlu kapal terbang untuk memenuhi keperluan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perolehan pesawat itu juga sebagai meningkatkan kesiapsiagaan aset kerana pesawat F/A-18 Legacy Hornet Kuwait 90 peratus menyamai pengoperasian pesawat Hornet TUDM, yang membolehkan anggota TUDM mengoperasikannya tanpa latihan tambahan dan konfigurasi yang minimum.

Secara umum katanya, F/A-18 Legacy Hornet Kuwait berada dalam keadaan sangat baik dengan tahap 90 peratus kebolehkhidmatan pada setiap masa dan pasukan teknikal TUDM mendapati jumlah jam penerbangan pesawat jauh lebih rendah berbanding pesawat Hornet TUDM.

"Kuwait Air Force (KAF) mempunyai simpanan sehingga 10,000 alat ganti dan KAF mengesahkan ada hampir kesemua alat ganti kritikal yang diperlukan TUDM, jadi berdasarkan bilangan alat ganti itu maka pengoperasian pesawat F/A-18 Legacy Hornet jika kita berjaya memperolehinya, maka akan dapat kita gunakan pesawat ini sehingga tahun 2035," katanya.

Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa pembelian aset terpakai dari negara lain merupakan amalan biasa dalam sektor pertahanan dan ia bukan sesuatu yang janggal atau memudaratkan.

Beliau berkata, pendekatan serupa turut dilakukan oleh Indonesia, Thailand dan Croatia yang membeli aset terpakai daripada negara lain seperti Qatar, Amerika Syarikat dan Perancis. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!