Dua beranak maut ditikam: 'Suspek bukan kekasih mangsa' - Keluarga
GEORGE TOWN - Keluarga dua beranak yang maut di hadapan lif akibat ditikam seorang lelaki memohon orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai punca insiden bersebut.
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, suspek bukan kekasih mangsa seperti yang ditular di media sosial.
"Suspek bukan kekasih kepada mangsa, harap orang ramai tidak buat spekulasi yang mengaibkan arwah dan keluarganya.
"Tolong jangan buat spekulasi sehingga mengaibkan arwah serta keluarganya," katanya.
Menurutnya, mangsa wanita sudah berumahtangga dan mempunyai tiga anak berusia lingkungan 18 bulan hingga 10 tahun.
"Keluarga mangsa masih terkejut kerana kejadian berlaku sangat pantas.
"Mereka tidak bersedia untuk komen kerana trauma, mereka kehilangan dua orang tersayang dalam masa sama," katanya lagi.
Terdahulu seorang wanita dan bapanya maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di Ayer Itam pada jam 12.54 tengah hari Khamis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa wanita berusia 30 tahun manakala bapanya berusia 62 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.
Menurutnya, sebelum itu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu membawa pisau dan berada dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri berkenaan.
"Selepas menerima maklumat, anggota polis ke lokasi iaitu di hadapan lobi lif pangsapuri tersebut dan menjumpai tiga orang warga tempatan terbaring dalam keadaan berdarah di atas lantai.
"Mangsa adalah dua beranak iaitu anak perempuan dan bapanya telah disahkan meninggal dunia. Sementara seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai suspek juga terbaring dalam keadaan berlumuran darah berdekatan dua beranak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hamzah berkata, suspek mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri.
"Suspek telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Dengan tertangkapnya suspek dan rampasan senjata yang digunakan (untuk membunuh kedua-dua mangsa), maka kes ini telah berjaya diselesaikan," tambahnya.
Menurutnya, polis sedang menyiasat motif kejadian daripada pelbagai sudut.
"Kita mohon juga saksi awam yang melihat kejadian secara jelas untuk tampil membantu dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!