FGV perkenal kereta sorong elektrik mulai Februari 2025

Teknologi 'Power Barrow Engine' yang kini digunakan untuk mengumpul tandan kelapa sawit sebelum ditukar kepada 'EV Power Barrow' tidak lama lagi. FOTO SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN
Teknologi 'Power Barrow Engine' yang kini digunakan untuk mengumpul tandan kelapa sawit sebelum ditukar kepada 'EV Power Barrow' tidak lama lagi. FOTO SINAR HARIAN/ AISYAH BASARUDDIN
A
A
A

SUNGKAI - [DIKEMAS KINI] FGV Holdings Berhad (FGV) bakal memperkenalkan penggunaan kereta sorong elektrik (EV Power Barrow) bermula Februari tahun depan bagi menggantikan kaedah pengumpulan kelapa sawit secara konvensional.

Pengarah Divisyen Perladangan FGV, Borhan Bachi berkata, inovasi tersebut amat memudahkan pekerja kerana operasi pengumpulan tandan kelapa sawit sebelum ini hanya menggunakan kereta sorong biasa atau ‘Power Barrow Engine’.

Menurutnya, inisiatif yang dibangunkan sememangnya menjadi fokus utama FGV ke arah kemampanan di samping menyokong prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam syarikat.

“Kalau sebelum ini ‘Power Barrow Engine’ menggunakan petrol, tetapi susah juga kalau asyik kena beli bahan api.

“Justeru, kami memang serius dan sedang bergerak ke arah penggunaan inovasi EV. FGV juga sudah beli beberapa unit untuk digunakan di ladang cuma jumlahnya belum boleh diperincikan lagi.

“Ujian ketahanan sudah dibuat selama tiga bulan daripada vendor, jadi kami dalam proses tukar kepada EV Power Barrow dengan 48 volt dan ia mampu bertahan lama sehingga lapan jam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media penutup ‘Media Familiarisation Programme’ FGV di Felda Residence Sungai Klah, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV Plantation Management Sdn Bhd, Hamdan Ismail; CEO FGV Wilayah Semenanjung 2, Rahimi Hissan Wahid; CEO FGV Palm Industries Sdn Bhd, Malik Sekak; CEO Pusat Inovasi FGV, Hisham Hamid dan staf pengurusan syarikat.

Artikel Berkaitan:

Antara wakil media selain Sinar Harian adalah pemberita dari Bernama, ASTRO Awani, Berita Harian, Harian Metro, The Edge, The Star, Media Prima, Malaysia Gazette, Scoop!, Kosmo! dan Majoriti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim memaklumkan, pihaknya juga menekankan inisiatif ESG yang lain seperti ‘Waste-To-Wealth’ iaitu menukarkan sisa operasi kilang kepada produk yang menjana keuntungan.

Katanya, bahan buangan kelapa sawit (POME) boleh dijadikan alternatif kepada baja organik dan biogas, tempurung kelapa sawit (PKS) sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui manakala sabutnya dibuat kompos.

“Ada yang diimport ke Korea dan Jepun bahkan diguna pakai dalam Malaysia.

“Minyak enap cemar juga mendapat permintaan tinggi sekarang untuk sektor penerbangan menerusi Sustainable Aviation Fuel (SAF),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!