Wang tunai RM1 juta hilang: Dua pengawal keselamatan ditahan
AMPANG JAYA - Dua pengawal keselamatan ditahan bagi siasatan lanjut berkaitan kehilangan beg berisi wang tunai RM1 juta dekat Ampang Point pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 10 malam.
"Dua suspek yang ditahan merupakan lelaki dan wanita masing-masing berumur 38 dan 52 tahun.
"Kedua-dua suspek yang merupakan pengawal keselamatan itu juga didapati tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau berdasarkan semakan dijalankan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Katanya, suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.
Mohd Azam berkata, susulan kehilangan wang tunai itu, pihaknya telah menerima laporan berkaitan penemuan semula beg berisi wang tunai sebanyak RM 1 juta itu pada Khamis.
"Laporan penemuan berkenaan dibuat orang awam kira-kira jam 9.20 pagi.
"Pemeriksaan dijalankan ke atas beg terbabit adalah disahkan milik sebuah syarikat keselamatan dan mengandungi wang tunai sebanyak RM1,071,000," katanya.
Terdahulu, polis memaklumkan beg berisi wang tunai berkenaan yang dilaporkan hilang telah ditemui hari sama di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati wang berkenaan ditemui oleh orang awam ketika melalui lokasi berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!