Kerajaan digesa dedah kepada umum tender 5G U Mobile

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mendedahkan tender rangkaian 5G kedua Malaysia yang dianugerahkan kepada U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) agar dapat diakses umum.

Ketua Portfolio Komunikasi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, ia berikutan penganugerahan tersebut tidak didedahkan kepada umum menyebabkan proses berkenaan tidak telus.

Menurutnya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat mengenai pemilihan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai pengendali rangkaian 5G.

“Saya menuntut agar kriteria pemilihan pengendali rangkaian kedua ini didedahkan kepada umum sepenuhnya dan dikongsi dengan semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Perkara ini penting kerana ketidaktelusan inilah yang menyebabkan wujud pelbagai spekulasi sehingga ada yang membimbangkan kerana menyentuh kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Sekiranya kerajaan berpegang dengan prinsip ketelusan dari awal, semua fitnah ini terutama menjurus kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dapat dielakkan,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Khamis.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam satu kenyataan menjelaskan pemilihan syarikat U Mobile itu dibuat melalui proses teliti, merangkumi perbincangan terperinci mengenai aspek teknikal dan komersial.

Untuk rekod, pemegang saham utama U Mobile termasuk hartawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan dan Temasek Holdings Pte yang disokong Singapore Technologies Telemedia Pte.

Artikel Berkaitan:

Fahmi semasa di Dewan Rakyat berkata, keputusan untuk memilih U Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.

Menurutnya, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan mempersoalkan wakil U Mobile dalam Digital Nasional Berhad (DNB) tidak diarahkan meletakkan jawatan serta-merta.

Ujarnya, ia berikutan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik rakyat Malaysia itu dipaksa bersaing dengan U Mobile yang masih mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah DNB

“Sebagai pengarah, jika individu ini ada akses kepada maklumat sensitif mengenai hal ehwal dalaman dan strategi DNB, sudah pasti U Mobile mempunyai senjata untuk bersaing dan mengalahkannya.

“Tapi DNB tidak ada akses kepada strategi dalaman U Mobile, menjadikan padang tidak sama rata.

"Kenapa kerajaan memberi kelebihan kepada pesaing yang majoriti dimiliki oleh Singapura, sedangkan DNB dipaksa bersaing atas padang yang tidak sama rata?” soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!