Huawei sedia ratusan tapak mudah alih di Sarawak, percepat transformasi digital - PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei telah menyediakan beratus-ratus tapak rangkaian mudah alih, perkhidmatan pengkomputeran awan dan pusat operasi pintar di Sarawak yang membantu meningkatkan liputan rangkaian tanpa wayar di kawasan pedalaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu sekali gus membantu mempercepat transformasi digital.

Dalam kunjungan dan pertemuan peringkat tertinggi dengan delegasi Huawei di Beijing hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut dimaklumkan mengenai beberapa teknologi Huawei yang digunakan bagi merungkai beberapa isu di Malaysia, terutama dalam merapatkan ketidakseimbangan digital.

"Saya kagum melihat perkembangan teknologi dan penyelesaian yang dibangunkan Huawei, meliputi (teknologi) 5.5G, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) yang telah memangkin transformasi digital dalam sektor kerajaan dan industri,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Anwar mengunjungi Pusat Taklimat Eksekutif Huawei dan telah disambut oleh pimpinan kanan yang membawa beliau meninjau pelbagai pembangunan teknologi syarikat berkenaan.

Perdana Menteri kemudiannya mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan peringkat tertinggi dengan delegasi Huawei yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Huawei Technologies Co. Ltd, Liang Hua.

Anwar mengakhiri lawatan kerja empat harinya ke China hari ini yang bermula pada 4 November lepas.

Beliau telah diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!