Empat anggota pengaman UNIFIL Malaysia cedera dalam serangan Israel di Lubnan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Serangan Israel di bandar Sidon, Lubnan pada Khamis mengorbankan tiga orang awam warga tempatan selain mencederakan tiga tentera negara Lubnan serta empat anggota pasukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) dari Malaysia.
Reuters yang memetik kenyataan dari tentera Lubnan melaporkan, serangan berkenaan menyasarkan sebuah kereta sewaktu ia mendekati pos pemeriksaan telah membunuh tiga warga negara berkenaan yang berada di dalam kenderaan itu.
Dalam pada itu, UNIFIL mengesahkan lima tentera pasukan pengaman di Lubnan mengalami kecederaan ringan susulan serangan dron yang berlaku berhampiran.
Dalam satu kenyataan UNIFIL berkata, kejadian berlaku ketika konvoi tersebut melalui bandar Sidon dalam perjalanan membawa tentera pengaman baharu tiba di selatan negara itu.
“Mereka yang cedera telah dirawat oleh Palang Merah Lubnan dan akan meneruskan perjalanan mereka.
“Selain itu tiga tentera Lubnan yang berada di pos kawalan tercedera akibat serangan itu,” katanya pada Selasa.
UNIFIL mengingatkan pihak berkaitan agar tidak meletakkan pasukan pengaman dan orang awam berada dalam keadaan bahaya.
"Perbezaan harus diselesaikan di meja rundingan, bukan melalui keganasan,” tegasnya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian berkenaan.
Pada Rabu, Mohamed Khaled menyatakan penghantaran dan penugasan MALBATT di Lubnan untuk misi pengaman di bawah PBB diteruskan meskipun berhadapan dengan situasi tegang susulan serangan Israel ke atas negara itu sejak September lepas.
Jelasnya, penghantaran pasukan ke-12 MALBATT itu merupakan persefahaman negara dengan PBB bagi penugasan di Lubnan.
Tambahnya lagi penghantaran MALBATT secara berfasa bermula Rabu hingga 18 November ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!