Sasar penyertaan skala lebih besar edisi kedua
PENGANJUR Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2024 Piala Datuk Zuraidi Rahim berhasrat menjemput pesilat-pesilat dari seluruh dunia termasuk dari Eropah pada masa depan.
Ini susulan sambutan memberangsangkan dalam kalangan peserta bagi edisi 2024 anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Pesaka Kedah serta Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) yang berlangsung di Alor Setar, Kedah.
Menurut Penaung Pesaka Kedah, Datuk Zuraidi Rahim, pihaknya bersedia membawa pesilat Eropah untuk edisi kedua.
"Kalau penganjuran kali ini kita hanya menyasarkan pesilat-pesilat dari rantau ASEAN, tahun depan kita berhasrat menganjurkannya dengan skala lebih besar.
"Kehadiran pesilat menampakkan hasil apabila kita jumpa bakat baharu yang versatil. Maknanya transformasi boleh dilakukan dalam dunia silat khususnya di Kedah, untuk mewakili negeri di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa," katanya.
Sebagai rekod, kejuaraan kali ini berjaya menarik penyertaan dalam kalangan 2,000 pesilat tempatan dan Asia Tenggara.
Edisi kali ini menyaksikan penguasaan PSSPGM apabila muncul juara apabila meraih 18 pingat emas, 11 pingat perak dan 14 pingat gangsa dengan membawa pulang RM10,000.
Kelab Silat Sriwira Malaysia pula muncul kedua terbaik dengan tiga pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa, diikuti ketiga milik Zura Akademi Fighter (ZAF) dengan tiga pingat emas, empat perak dan empat gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!