Selesaikan isu berbangkit di sekolah
SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kualiti jika mahu melihat ibu bapa menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama pendidikan anak mereka pada masa akan datang.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, kebolehpasaran sekolah kebangsaan boleh ditingkatkan jika masalah dibangkitkan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pendidikan dapat diselesaikan.
Menurutnya, isu seperti keadaan sekolah daif terutama sekolah rendah di luar bandar atau bilangan pelajar terlalu ramai selain kekurangan guru perlu diberi perhatian segera.
“Trend pelajar meningkat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah antarabangsa menunjukkan ada yang tidak memuaskan di sekolah kebangsaan.
“Dulu hantar anak ke sekolah kebangsaan kerana berhampiran rumah tetapi sekarang perkembangan bukan kecenderungan kepada lokasi sekolah, sebaliknya ramai ibu bapa melihat kepada faktor lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Jelas Anuar, sekiranya masalah berpanjangan, ibu bapa akan terus memilih alternatif lain iaitu dengan menghantar anak mereka ke SJKC atau sekolah antarabangsa kerana sistem pembelajaran dan disiplin pelajar yang baik dengan tenaga pengajar berkualiti.
Menurutnya, trend tersebut telah lama berlaku, cuma kadar ibu bapa bukan Cina menghantar anak mereka ke sekolah selain sekolah kebangsaan dilihat meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Jika tidak menyelesaikan masalah infrastruktur, isu guru dibebani peranan bukan mengajar dan keadaan bilik darjah kurang memuaskan, saya fikir angka ini akan terus meningkat pada masa hadapan,” ujarnya.
Tambahnya, perkembangan tersebut bakal memberi implikasi besar kepada sistem pendidikan kebangsaan yang pada asasnya adalah untuk membina satu negara bangsa mempunyai jati diri kebangsaan.
Menurut Anuar, perkembangan pendidikan yang berlaku antara cabaran besar dihadapi di negara ini berbanding negara jiran seperti Singapura dan Indonesia yang mana semua pelajar mereka belajar di sekolah kebangsaan milik kerajaan.
“Kita bercakap satu sistem pendidikan kebangsaan, apakah usaha kita untuk membina satu sistem pendidikan kebangsaan tercapai?
“Adakah bahasa Melayu akan menjadi bahasa utama sistem pendidikan negara? Kalau ke SJKC sudah tentu guna bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar dan sekolah antarabangsa pula guna bahasa Inggeris,” katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, tiga panelis iaitu bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tricia Yeoh merumuskan 20 syor ketika Program Meja Bulat Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 tahun, di mana silapnya?.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!