Adakah Trump akan belajar daripada kesilapan lalu?
DONALD Trump pastinya senyum lebar sampai ke telinga kerana impiannya untuk kembali ke Rumah Putih akhirnya tercapai pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
Kira-kira empat tahun lalu, Trump, 78, yang terkenal dengan julukan ‘raja drama’ tidak dapat menerima kekalahannya di tangan Presiden Joe Biden bertindak melancarkan serangan ke atas demokrasi negara itu yang turut menggemparkan seluruh dunia.
Rakyat Amerika mungkin sudah lupa dengan pelbagai skandal Trump dan termakan janji beliau ketika berkempen yang terpalit kontroversi termasuk dua kali insiden cubaan bunuh.
Beliau yang masih berdepan kes jenayah sekali lagi dipilih memegang tampuk pemerintahan walaupun dasar pentadbiran sebelum ini cacamarba, bersifat unilateral dan demi keuntungan peribadi semata-mata.
Sebagai bukti, pentadbiran Trump gagal menangani sektor kesihatan awam dan mengendalikan pandemik Covid-19 serta krisis ekonomi yang membawa kepada kejatuhan teruk dan terpaksa ditanggung penggantinya.
Sejak beliau memegang kuasa pada 2016, Trump bukan hanya mencipta masalah di tanah air sendiri malah di Asia Barat dan peringkat global.
Trump sewenang-wenangnya menarik penyertaan Washington daripada beberapa pertubuhan dan perjanjian antarabangsa hingga memburukkan reputasi AS dalam kalangan sekutunya.
Beliau juga mempunyai rekod buruk berkaitan dasar di rantau Asia Barat dengan mengheret beberapa negara Teluk untuk menjalinkan hubungan bersama Israel di bawah Perjanjian Abraham tanpa mempedulikan tuntutan Palestin.
Mungkin komuniti antarabangsa juga sudah lupa bagaimana Trump berpura-pura menjadi perantara konflik Palestin-rejim Zionis, namun mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel termasuk langkah provokasi memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Kota Lama tersebut.
Pada penggal akhir pentadbirannya, Trump juga ‘membanjiri’ Asia Barat dengan senjata termasuk menjual jet pejuang kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), bekalan dron dan peluru kepada Maghribi.
Kini, Trump kembali berkuasa, persoalan sekarang, adakah beliau akan menyambung semula dasar bercampur aduk atau bakal Presiden ke-47 AS itu sudah belajar daripada kesilapan penggal pertama sebelum ini dan membuka lembaran baharu?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!