Profesor Islamisasi jahil Arab

A
A
A

SALAH satu skandal terbesar dalam kalangan ilmuwan pengajian Islam ialah wujudnya sebahagian ilmuwan yang berstatus profesor tetapi tidak mampu baca kitab ilmiah yang ditulis dalam bahasa Arab.

Bahkan antara sebahagian profesor pengajian Islam itu ada yang terkenal dan disanjung tinggi oleh masyarakat.

Yang peliknya bagaimana birokrasi universiti boleh memberi mereka status profesor dalam pengajian Islam sedangkan mereka sangat lemah bahasa Arab? Bayangkan senario seorang graduan sastera Inggeris tidak fasih bahasa Inggeris.

Graduan itu terpaksa bergantung kepada terjemahan buku sastera Inggeris. Adakah graduan itu akan diambil menjadi guru sastera Inggeris di sekolah?

Sudah tentu tidak! Apatah lagi diangkat menjadi profesor! Birokrasi universiti yang mengangkat graduan yang lemah bahasa Inggeris untuk menjadi profesor pengajian sastera Inggeris sudah pasti akan menerima cemuhan daripada Barat kerana Barat sangat menjaga kualiti pakar dalam budaya mereka.

Sekolah Cina terus memperjuangkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana mahu martabatkan bahasa Cina sebagai wasilah paling utama untuk menjaga budaya mereka.

Mereka utamakan kualiti pendidikan Cina, bukan birokrasi tetapi mengapa birokrasi universiti yang dipimpin oleh ilmuwan Muslimin memandang remeh kualiti profesor pengajian Islam seolah-olah sesiapa sahaja yang cerdik main politik, celik permainan birokrasi, bijak berkata-kata akan dilambung menjadi profesor!

Saya tergelak bila universiti begitu menjaga kertas kehadiran pelajar. Perkara paling utama bagi pensyarah ialah ambil kedatangan pelajar. Dosa besar kalau tidak ambil kedatangan pelajar.

Artikel Berkaitan:

Tetapi pada masa sama, universiti tidak sediakan dana untuk membuat buku teks sendiri! Kita lihat pelajar pengajian Islam sibuk tandatangan kertas kehadiran ke kelas bahasa Arab tetapi hakikatnya majoriti besar pelajar tidak mahir pun baca kitab ilmiah Arab. Kualiti dan kemahiran tidak diutamakan.

Yang utama ialah jumlah kehadiran! Umat Islam sangat taksub kepada birokrasi kerana birokrasi itu mengutamakan hierarki dan prestij, bukan kualiti. Prestij universiti yang menentukan harga komersial sekeping ijazah, bukan kualiti gurunya.

Bahkan nama gurunya langsung tidak tercatat di skrol ijazah dan transkripnya. Yang tercatat besar ialah nama universiti dan tandatangan kepimpinan birokrasi. Semakin berprestij sebuah universiti, semakin laku skrol ijazah.

NilaiPrestij universiti dipromosikan oleh slogannya, jumlah profesornya, nama yang sedap, iklannya, bangunannya, jumlah graduannya, rankingnya dan lain-lain tetapi bukan kualiti pensyarah.

KPI di nilai berdasarkan fail kursus setiap pensyarah. Siapa yang akan nilai kualiti pensyarah dan fail kursus ini? Auditor iaitu pihak birokrasi yang bukan pakar dalam subjek yang pensyarah ajar! Juga pihak pelajar yang akan menilai kualiti pensyarah. Kedua-dua pihak iaitu birokrasi dan pelajar adalah bukan pakar dalam subjek yang dinilai! Yang bukan pakar menilai pakar!

Yang paling dekat dengan penilaian yang serius ialah penerbitan penulisan seorang pensyarah. Maka birokrasi universiti bertungkus-lumus menerbitkan penulisan pensyarah. Jadi apa yang tak kena?

Cuba bayangkan senario seorang profesor pengajian Islam menulis sebuah artikel di jurnal ilmiah. Siapa yang akan menguji kefasihan bahasa Arabnya? Siapa yang akan menguji kefahamannya kepada kitab-kitab ilmiah?

Kemungkinan artikelnya penuh dengan rujukan kitab-kitab Arab tetapi itu tidak semestinya menunjukkan yang dia telah baca dan faham!

Dia mungkin hanya baca terjemahan atau komen daripada ilmuwan lain yang menulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris!

Kecekapan menulis artikel ilmiah bergantung kepada sejauh mana seseorang itu memiliki kemahiran mengayat dan plagiat secara halus! Itulah sebab tamadun Muslimin itu menjadikan jidal (debat ilmiah) sebagai budaya ilmuwan supaya ilmuwan benar-benar diuji secara siaran langsung.

Sejauh manakah profesor pengajian Islam kita berani menyahut cabaran diuji secara siaran langsung?

*Xifu Naser Tun Rahman ialah Pensyarah Pemikiran Kritis UIAM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!