Cubaan kumpulan Sulu gugat kedaulatan negara terus gagal
SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu membuktikan Malaysia adalah negara berdaulat.
Ia sekali gus menolak tuntutan kumpulan dari Filipina itu pada tahun 2019 kononnya tanah di Sabah didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan ia sebagai kemenangan bersejarah buat Malaysia kerana keputusan penting itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira AS$15 bilion tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.
"Prosiding di Mahkamah Rayuan Paris akan diteruskan dalam masa terdekat untuk membatalkan Award Akhir yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa dan menyelesaikan isu itu secara muktamad dengan keputusan yang memihak kepada rakyat Malaysia," katanya pada Khamis.
Sebelum ini cubaan kumpulan Sulu itu menggunakan mahkamah antarabangsa untuk merampas aset syarikat minyak Malaysia, Petronas di Luxembourg dan Belanda serta aset diplomatik negara di Perancis termasuk bangunan kedutaan turut gagal.
Ini selepas Mahkamah Perancis membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun yang dibuat terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris oleh penuntut warga Filipina (Sulu), pada 6 November tahun lalu.
Keputusan Mahkamah Perancis itu sekali gus dapat mematikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan Malaysia gagal bertindak menyelesaikan isu berkenaan.
Malaysia berhenti membuat pembayaran kepada waris Sulu selepas sekumpulan 200 anggota bersenjata yang dikenali sebagai Tentera Diraja Sulu telah menceroboh masuk ke daerah Lahad Datu di Sabah dari Filipina, dalam usaha untuk mengambil alih negeri itu pada 11 Februari 2013.
Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, menyatakan pencerobohan berkenaan adalah punca mengapa pembayaran tersebut dihentikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!