Malaysia perlu mendepani teknologi baharu untuk kekal berdaya saing
KUALA LUMPUR - Malaysia bakal berada di persimpangan inovasi teknologi dan penstrukturan semula ekonomi menjelang 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, untuk ke arah itu negara perlu menumpukan kepada industri bernilai tinggi, pendigitalan dan persiapan tenaga kerja sebagai jaminan menempuh cabaran masa depan.
Menurutnya, kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan automasi telah mengubah corak kerja dan trend semasa itu harus cepat diadaptasi untuk terus kekal berdaya saing.
"Pada era baharu ini, pembelajaran sepanjang hayat bukan lagi sebuah pilihan tetapi merupakan keperluan.
"Untuk mendepani masa depan, minda tenaga kerja perlu dipupuk dengan prinsip 'belajar, tidak belajar dan belajar semula'.
"Ini kunci untuk terus maju dalam sebuah persekitaran yang sentiasa berkembang," katanya berucap pada Malam Gala Anugerah HRD 2024 berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Khamis.
Program anjuran Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) itu menghimpunkan majikan terkemuka Malaysia, penyedia latihan dan jurulatih bagi meraikan kecemerlangan pembangunan modal insan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, proses meningkatkan kemahiran sedia ada dan kemahiran baharu perlu terus menjadi keutamaan.
Pihaknya menyambut baik inisiatif organisasi yang melabur dalam pembangunan pekerja untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan persaingan peringkat global.
Ujarnya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi HRD Corp telah memainkan peranan penting memudahkan transformasi itu dengan memberikan sokongan industri dalam meningkatkan pembangunan modal insan.
"HRD Corp's Allowable Cost Matrix (ACM) mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan latihan berkualiti dan boleh diakses.
"Dengan format kursus lebih fleksibel dan kadar penuntut yang tinggi, ekosistem latihan dalam negara akan diselaraskan dengan amalan terbaik global," katanya.
Sementara itu, pada majlis itu sebanyak 36 anugerah telah disampaikan kepada organisasi, penyedia latihan dan jurulatih yang cemerlang dalam empat kategori anugerah.
Ia merangkumi Anugerah Menteri Sumber Manusia, Anugerah HRD Corp, Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Pengiktirafan Khas dalam Pembelajaran dan Pembangunan.
Antara pemenang yang berjaya membawa pulang anugerah adalah Abbott Penang, Samsung Malaysia Electronics (SME), Bermaz Moto dan Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd.
Sejak mula diperkenalkan pada 2001, Anugerah HRD telah mengembangkan reputasinya dengan muncul sebagai platform utama yang mengiktiraf sumbangan luar biasa dalam sektor pembangunan sumber manusia.
Tahun ini, Anugerah HRD mencatat jumlah penyertaan tertinggi iaitu 493 penyertaan berbanding 369 penyertaan pada tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!