[VIDEO] Fitnah: Muhyiddin diperintah bayar Guan Eng RM1.35 juta
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng kerana memfitnah bekas Menteri Kewangan itu berhubung isu menyalahgunakan kuasa dalam isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain mengarahkan demikian selepas mendapati Guan Eng berjaya dalam saman fitnahnya terhadap bekas Perdana Menteri tersebut berhubung isu berkenaan.
Roz Mawar berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak cuba untuk mengesahkan kenyataan sebelum mengeluarkan dakwaan tersebut yang tidak berasas.
"Muhyiddin mempunyai sumber-sumber untuk mengesahkan dan memastikan sama ada pemahamannya adalah betul mengenai fakta-fakta tersebut, namun beliau tidak berbuat demikian dan terus membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap pihak plaintif setelah plaintif memberitahunya tentang kesalahan kenyataan tersebut.
"Kenyataan itu bukan sahaja tidak benar malah berpotensi membawa kesan buruk dalam negara berbilang budaya," katanya dalam penghakiman.
Pada 27 Mac tahun lalu, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berkait isu itu di Facebook pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Laporan berhubung isu terbabit kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan turut mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud beliau telah menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri agar mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary.
Sementara itu, butiran pampasan yang diputuskan oleh mahkamah sivil ialah RM350,000 untuk setiap tiga kenyataan yang membawa kepada jumlah RM1.05 juta ditambah RM350,000 untuk ganti rugi teruk dan RM350,000 untuk ganti rugi teladan menjadikan jumlah keseluruhan RM1.35 juta.
Muhyiddin turut diperintahkan mahkamah untuk membayar kos sebanyak RM50,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan.
Sejurus prosiding selesai, Guan Eng yang diwakili peguam, Guok Ngek Seong kelihatan dipeluk dan berjabat tangan dengan pemimpin serta penyokong DAP.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh tidak hadir semasa prosiding berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!