[VIDEO] Fitnah: Muhyiddin diperintah bayar Guan Eng RM1.35 juta

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng kerana memfitnahnya membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berjaya dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung isu berkenaan.

Roz Mawar berkata, Pengerusi DAP tersebut berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.

Katanya, tingkah laku Muhyiddin adalah tidak wajar kerana Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul berhubung fakta dalam kenyataan beliau.

Muhyiddin, Guan Eng
Muhyiddin, Guan Eng

“Namun beliau terus membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap pihak plaintif (Guan Eng) setelah plaintif memberitahunya tentang kesalahan kenyataan tersebut.

“Peguam kepada defendan menghujahkan bahawa bahasa yang digunakan dalam kenyataan fitnah tersebut adalah tidak bersifat mengapi-apikan.

“Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan sedemikian kerana konteks kenyataan yang dipertikaikan itu adalah dalam maksud semula jadi dan biasa, menimbulkan sentimen perkauman,” katanya ketika penghakiman.

Artikel Berkaitan:

Roz Mawar berkata, plaintif juga seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa serta tidak goyah walaupun ketika diperiksa balas semasa perbicaraan.

Menurutnya, keterangan ketua bahagian cukai kementerian kewangan menguatkan kes plaintif dan melemahkan pembelaan defendan.

Kata beliau, Muhyiddin juga sengaja mencampur-adukkan dakwaannya dengan rujukan yang mengapi-apikan bangsa dan agama sambil menekankan peranan Yayasan Albukhary dalam membantu umat Islam melalui kerja amalnya.

Berikutan itu, Roz Mawar turut memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.

Muhyiddin juga diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng yang juga menjadi Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Sejurus prosiding selesai, Guan Eng yang diwakili peguam, Guok Ngek Seong dan ditemani bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang kelihatan dipeluk dan berjabat tangan dengan pemimpin serta penyokong DAP.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh tidak hadir semasa prosiding berlangsung dan hanya diwakili peguam.

Pada 27 Mac tahun lalu, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berkait isu itu di Facebook pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Laporan berhubung isu terbabit kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan turut mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud beliau telah menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri agar mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!