United kembali bertaring di Liga Europa
PENGENDALI sementara, Ruud van Nistelrooy memuji sikap dan kebolehan Amad Diallo selepas Manchester United menamatkan penantian 380 hari sejak Oktober tahun lalu untuk meraih kemenangan di pentas Eropah menentang PAOK.
Diallo meledak kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 tersebut selepas The Red Devils hanya seri dalam tiga perlawanan awal Liga Europa musim ini.
Pemain berusia 22 tahun itu cemerlang menanduk masuk gol pertama pada minit ke-50 sebelum rembatannya pada minit ke-77 mengesahkan tiga mata buat United di Old Trafford.
“Saya rasa gol kedua Amad Diallo membuktikan segalanya-galanya.
“Dia berusaha merampas bola dari pertahanan PAOK dan kemudian dia mengawal bola dengan baik sebelum melakukan rembatan," kata Van Nistelrooy.
Diallo mengalami pasang surut sejak menyertai United dari Atalanta pada Januari 2021 dengan mentaliti pemain sayap itu menarik perhatian Van Nistelrooy.
"Dia seorang watak yang hebat dan dia sering bekerja keras
“Dia menunjukkan perkara itu dalam setiap sesi latihan. Setiap hari selepas latihan dia datang kepada saya dan dia mahu melakukan latihan tambahan.
“Dia sentiasa memberi tumpuan untuk belajar dan mahu menjadi lebih baik. Jadi, dia sangat bermotivasi untuk mendapatkan yang terbaik dalam kariernya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!