Rafizi jangan aniaya, buli saya - Ka Siong
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menempelak Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang didakwa bertindak menganiaya dan membuli beliau berkait fakta kos pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) berjumlah RM85 juta.
Ka Siong dalam nada sinis berkata, beliau hanya menyebut angka berdasarkan jawapan rasmi pernah diberikan Rafizi di Dewan Rakyat, bukannya memperoleh daripada 'mimpi'.
Justeru menurutnya, Rafizi sepatutnya membetulkan fakta di Parlimen sekiranya maklumat tersebut tidak benar.
"Kos pembangunan PADU RM85 juta sebenarnya datang daripada Rafizi dalam bentuk jawapan rasmi kepada ahli-ahli Dewan Rakyat. Kenyataan ini turut dilaporkan dalam media termasuk Suara Keadilan.
"Sekarang saya mula bimbang Rafizi mempunyai halusinasi dan memerlukan rawatan segera. Saya harap Rafizi jangan keliru lagi berkenaan dengan fakta penting begini. amatlah bahaya kalau menteri kita pun lupa.
"Jangan membuli, jangan aniaya saya. kalau kamu sendiri membuat silap. Kalau maklumat tidak tepat, pergi Parlimen buat pembetulan. Tak ada kena mengena dengan Wee Ka Siong. Apa dosa saya?," katanya menerusi hantaran di sosial media pada Khamis.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar pada Rabu, menyatakan bekas Menteri Pengangkutan itu, menggunakan data yang tidak betul.
Susulan itu, Ka Siong menuntut Rafizi membuat penerangan atau menarik semula kenyataan bagi membersihkan namanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!