Kerajaan ada rancangan sandaran jika MALBATT terpaksa berundur

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mempunyai rancangan sandaran sekiranya keadaan di selatan Lubnan menjadi semakin meruncing berikutan tindakan agresif Israel sehingga Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) membuat keputusan untuk berundur.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini komitmen negara masih berterusan seperti negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke Lubnan.

Beliau berkata, keadaan yang berlaku sekarang adalah situasi sama ketika negara mula menghantar pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) buat kali pertama ke sana bagi tugasan pengaman.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan UNIFIL bagi mengetahui situasi semasa di kawasan berkenaan selain berbincang dengan negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke sana.

"Bukan pasukan MALBATT sahaja yang berhadapan dengan serangan malah pasukan dari negara lain seperti Indonesia dan Ireland turut menghadapi situasi yang sama.

"Ia menjadi reputasi negara untuk terus bersama-sama dengan pasukan pengaman UNIFIL yang dianggota lebih 40 negara bagi menjaga keamanan di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama Radio bagi mengulas situasi terkini anggota MALBATT di Lubnan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, anggota yang dihantar ke sana ialah askar terlatih dan sudah bersedia serta mengetahui risiko yang mereka hadapi ketika bertugas sebagai pasukan pengaman di sana.

"Mereka ini bukan rakyat biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, seramai enam anggota MALBATT disahkan mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.

Mohamed Khaled dalam pada itu memaklumkan seorang anggota yang cedera di tangan sedang menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida manakala lima lagi anggota yang cedera ringan telah selamat sampai ke Kem Marakah.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kejadian berpunca daripada serpihan letupan sebuah kereta yang belum diketahui puncanya sama ada akibat tembakan daripada dron atau pesawat pejuang Israel.

"Serpihan letupan berkenaan telah menyebabkan cermin depan dan belakang sebuah daripada bas yang membawa rombongan MALBATT 850-12 pecah dan menyebabkan enam anggota cedera termasuk anggota pengiring MALBATT 850-11," katanya.

Pada Rabu lepas penghantaran pertama pasukan MALBATT 850-12, melibatkan 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dilakukan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penugasan dan penghantaran pasukan MALBATT 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam bermula 6 hingga 18 November ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!