Anggota MALBATT cedera: MBM gesa kerajaan, PBB bertindak ke atas Israel
SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak tegas ke atas Israel yang berterusan melakukan serangan mensasarkan kedudukan tentera pengaman PBB di Lubnan.
Presiden MBM, Mohd Izzat Abdul Hamid berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Israel yang mengakibatkan kecederaan empat tentera Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Sidon, Selatan Lubnan.
Menurutnya, tentera MALBATT 850-12 merupakan sebahagian daripada pasukan pengaman yang baharu tiba pada khamis lalu bagi menggantikan kontinjen MALBATT 850-11.
"Kami menyatakan sokongan penuh terkait cadangan Perdana Menteri bagi mengemukakan usul menyingkirkan Israel sebagai anggota PBB.
"Jenayah perang yang dilakukan Israel di Timur Tengah telah melampaui batas kemanusiaan dengan melanggar banyak protokol keamanan dan lunas hukum global,"ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum itu, anggota MALBATT disahkan cedera susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada jam 1.54 petang waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia hari ini.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
Tambah Mohd Izzat, MBM menyeru seluruh rakyat Malaysia bersatu hati demi perjuangan menentang kezaliman Israel dan mendokan keselamatan anggota tentera yang terlibat dalam misi pengaman di rantau Timur Tengah.
"Kami berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam mengambil segala kebijakan berhubung isu membabitkan konflik keganasan terutama melibatkan kebiadapan Israel ke atas penduduk Lubnan dan Palestin," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!