Suspek bunuh dua beranak direman tujuh hari
GEORGE TOWN - Suspek yang menikam mati dua beranak di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim pada Khamis direman tujuh hari bermula Jumaat hingga 14 November nanti.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, suspek kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan berada dalam keadaan stabil.
"Suspek masih hidup dan berita yang mengatakan suspek sudah meninggal dunia adalah berita palsu.
"Kita sudah mendapat perintah reman tujuh hari terhadap suspek untuk menjalankan siasatan," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.
Dalam kejadian pada petang Khamis, seorang wanita dan bapanya maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim di Ayer Itam pada jam 12.54 tengah hari.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa wanita berusia 30 tahun manakala bapanya berusia 62 tahun disahkan meninggal duni di lokasi kejadian akibat parah.
Menurutnya, sebelum itu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu membawa pisau dan berada dalam keadaan mencurigakan di pangsapuri berkenaan.
Dalam pada itu, salah seorang ahli keluarga mangsa berkata, suspek merupakan saudara jauh kepada kedua-dua mangsa.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Karangan, Kulim dipercayai sering datang ke rumah mangsa dan mempunyai perasaan terhadap mangsa.
"Yang saya tahu, suspek memang ada perasaan terhadap mangsa. Bagaimanapun, mangsa tidak (mempunyai perasaan terhadap suspek).
"Suspek juga dikatakan ke rumah mangsa sebelum menyerang mangsa.
"Selain itu, suspek juga tahu rutin harian mangsa, jam berapa dia balik kerja dan sebagainya," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP.
Difahamkan, jenazah kedua-dua beranak tersebut akan disembahyangkan di Masjid Tuan Guru di Tanjung Tokong dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjung Tokong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!