PGA tumpaskan sindiket seludup lembu bernilai lebih RM100,000
KOTA BHARU - Polis menumpaskan sindiket penyeludupan 15 ekor lembu dengan anggaran berat 7,500 kilogram disyaki diseludup dari Thailand dianggarkan bernilai RM112,500 dalam Operasi Taring Wawasan semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, PGA menahan sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bembam, Pasir Mas pada jam 6.50 petang.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek itu bertindak sebagai penghantar untuk menyeludup haiwan berkenaan ke pasaran tempatan.
"PGA mendapati suspek berusia 31 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
"Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, PGA juga menumpaskan kegiatan penyeludupan pokok hiasan di Jejawi, Pasir Mas selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan pada jam 12.30 tengah hari semalam.
Nik Ros Azhan berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 120 pohon pokok hiasan jenis Bromeliad yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam kenderaan itu, tanpa dokumen yang sah.
Beliau berkata, suspek berusia 31 tahun itu dipercayai bertindak menjadi penghantar untuk menyeludup pokok hiasan itu ke pasaran tempatan.
"Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM6,350 dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976. Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan lanjut," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!