'Ganti rugi RM1.35 juta kepada Guan Eng terlampau tinggi' - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng kerana memfitnah Pengerusi DAP itu tahun lalu.

Bagaimanapun, Muhyiddin, 77, menghormati keputusan itu selepas mahkamah memutuskan, Guan Eng, 64, berjaya membuktikan kesnya melalui prinsip imbangan kebarangkalian iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.

Menerusi kenyataan media di Facebooknya, beliau berkata, bagi mematuhi mahkamah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini akan menurunkan kenyataan berkenaan dari akaun Facebook dan media sosialnya yang lain.

“Saya telah mengarahkan peguam untuk merayu terhadap keputusan terbabit kerana saya mempunyai pembelaan yang baik.

“Bagi saya, jumlah yang telah ditetapkan mahkamah adalah terlampau tinggi,” katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah Pengerusi DAP itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah berkenaan ketika membenarkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Guan Eng selaku plaintif.

Ia membabitkan isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Artikel Berkaitan:

Beliau sehubungan itu, memerintahkan Ahli Parlimen Pagoh itu membayar ganti rugi am kepada Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.

Muhyiddin selaku defendan turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada bekas Menteri Kewangan dalam kerajaan PH daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020 tersebut.

Pada 27 Mac 2023, bekas Setiausaha Agung DAP, memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Guan Eng mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!