'Sempat berbual di telefon beberapa minit sebelum adik maut ditikam' - Kakak

Khadijah tidak dapat menahan sebak mengenangkan kematian adiknyaakibat ditikam di hadapan lif pangsapuri. Seorang wanita dan bapanya maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Ayer Itam pada petang Khamis.
Khadijah tidak dapat menahan sebak mengenangkan kematian adiknyaakibat ditikam di hadapan lif pangsapuri. Seorang wanita dan bapanya maut selepas ditikam seorang lelaki di hadapan lif di sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Ayer Itam pada petang Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - "Saya baru bercakap (telefon) dengan dia jam 12.47 tengah hari semalam (Khamis), tiba-tiba dapat tahu dia dah meninggal dunia".

Demikian kata Khadijah Ibrahim, 64, kakak kepada mangsa, Zulkifli Ibrahim, 62, yang maut ditikam di hadapan lif sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Bandar Baru Farlim, Ayer Itam di sini pada petang Khamis.

Zulkifli dan anak perempuannya, Siti Zulaila, 30, maut selepas ditikam beberapa kali oleh seorang lelaki dengan menggunakan senjata tajam.

Khadijah berkata, kali terakhir dia berbual dengan adik ketiganya yang mesra disapa Zul menerusi panggilan telefon pada tengah hari Khamis, beberapa minit sebelum insiden itu berlaku.

Dia yang juga pesara berkata, belum sempat berbual panjang, adiknya meminta untuk memutuskan panggilan berikutan ada panggilan masuk lain.

"Dia tak pernah telefon ketika makan atau minum tapi kemarin (semalam) dia telefon.

"Saya pelik cuma tak kata apa-apa. Sempat tanya dia kat mana saja. Dia beritahu dia makan di Nasi Kandar Deen tetapi ketika dia telefon saya, dia minum di nasi kandar lain di Gelugor.

"Lepas tu, dia kata tak pa lah kak, anak dia 'call' masuk. Ada hal sikit dia kata. Saya pun mematikan panggilan, tak fikir apa-apa," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Khadijah berkata, sejurus selepas itu, dia menerima panggilan telefon daripada ibunya memberitahu adiknya sudah meninggal dunia.

"Saya betul-betul tak percaya selepas ibu memberitahu adik sudah meninggal. Luluh hati sebab baru sangat bercakap dengan dia. Saya meraung dan tanya ibu, betul ka ni (adik meninggal)?

"Saya tidak boleh cakap apa-apa apabila ibu beriya beritahu bahawa adik sudah meninggal dunia," katanya.

Dia menambah, adiknya merupakan seorang yang sangat baik dan amat disenangi oleh semua ahli keluarganya.

"Dia adik yang baik, tak pernah tinggi suara dan disenangi keluarga. Kami 10 beradik memang rapat. Walaupun sedih, saya reda dengan pemergian adik. Orang baik, ALLAH SWT sayang.

"Kami sekeluarga tak sangka sebab dia sihat. Memang sebelum ini dia ada sakit jantung tetapi sudah sihat selepas membuat pembedahan tetapi dia akhirnya meninggal dunia sebab lain, bukan sakit jantung," katanya.

Khadijah berkata, arwah merupakan seorang yang berdisiplin dan menepati masa.

Tambah Khadijah, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah adalah pada 2 November lalu apabila mereka sekeluarga ke Alor Setar untuk menghadiri kenduri kahwin.

"Dia (arwah) mai ambil saya di Kulim, nak pi kenduri rumah sepupu. Masa tu, tak ada perubahan ketara cuma dia suruh sepupu kami buat seri muka. Dia makan sungguh, habis.

"Saya ambil sepotong pun dia marah (gurau). Namun masa itu, memang saya ada perasan ada perubahan, tetapi tak tercakap sebab saya tak tahu apa perubahan.

"Sebagai kakak, saya memang perasan perubahan pada dia. Cuma ingatkan perasaan saya saja, tak fikir apa-apa," katanya.

Jelas Khadijah, arwah adiknya yang kini bekerja sebagai pemandu peribadi sedang dalam perancangan untuk menyertai konvoi ke Thailand dalam masa terdekat ini.

"Arwah pesara askar dan dia aktif berkonvoi. Yang saya tahu, dia memang nak pi konvoi tetapi tidak kesampaian.

"Selain motosikal, dia pun ada menyertai kelab kereta," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!