GISBH: 'Mereka boleh datang tanya keberadaan anak' - Polis

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

IPOH - Keluarga atau penjaga kepada kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) boleh berhubung dengan pihak polis bagi mendapatkan maklumat termasuk keberadaan anak mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, kesemua kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global itu kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Daripada hari pertama kita melancarkan Op Global telah diuar-uarkan untuk datang ke depan bagi membantu siasatan.

"Dalam konteks siasatan sekiranya ada yang terpisah dengan anak, mereka boleh datang bertanya, bukannya tidak boleh. Bagaimana mereka kata tidak tahu pula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris kepada Timbalan Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat (kanan) yang memangku jawatan itu di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Jumaat.

Mohd Shuhaily (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah terima tugas Ketua Polis Perak antara Azizi (kiri) kepada Zulkafli (kanan) yang memangku jawatan itu selepas Azizi bersara wajib.
Mohd Shuhaily (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah terima tugas Ketua Polis Perak antara Azizi (kiri) kepada Zulkafli (kanan) yang memangku jawatan itu selepas Azizi bersara wajib.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihak berkaitan berhak mengambil tindakan undang-undang sekiranya mahu mengemukakan saman kepada agensi terlibat dalam operasi itu.

"Dalam konteks ini kita cuba menyelamatkan mengikut prosedur dan proses perundangan dengan melaksanakan saringan yang dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak perubatan.

Artikel Berkaitan:

"JKM pun ada prosedurnya untuk memastikan anak-anak ini diserahkan kepada mereka yang layak bukan sahaja dari sudut hubungan keluarga tetapi mampu menjaga dan kebajikan anak-anak ini dengan baik.

"Ini prosedur biasa dan kalau mereka hendak ambil tindakan undang-undang sebagainya, itu hak mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH memohon agar anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan pada Rabu berkata, kerajaan tidak boleh bertindak semberono untuk membebaskan kanak-kanak dikaitkan GISBH kerana kes itu melibatkan pelbagai agensi yang masing-masing mempunyai garis panduan ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!