KPDN cadang guna nombor kumpulan pada minyak masak peket atasi ketirisan
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkemungkinan bercadang untuk menggunakan nombor kumpulan (batch number) pada minyak masak peket sebagai salah mekanisme baharu mengatasi ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, pihaknya mendapati berlaku ketirisan pada jenama minyak masak paket tertentu dalam pemeriksaan operasi Kita Gempur di kilang pembungkusan minyak masak di Pulau Pinang pada Khamis.
Sehubungan itu beliau menyatakan, pihaknya sedang mengkaji bagaimana kaedah mengesan ketirisan selepas ia keluar daripada peruncit, pemborong dan pembungkus.
"Sebab sistem kita, ada daripada (kilang) pembungkusan (minyak masak) kepada pemborong kepada peruncit tetapi apabila kita jumpa jenama itu berada di tempat yang tak sepatutnya contohnya di luar negara, macam mana kita hendak tengok dia siapa yang salah.
"Jikalau, kita kesan kepada kilang pembungkus minyak masak, mereka (kilang pembungkusan minyak masak) kata mereka pergi pada pemborong," katanya kepada pemberita selepas program Kita Gempur Zon Utara di Pantai Johor di sini pada Jumaat.
Beliau menambah, pihaknya melihat beberapa mekanisme yang mungkin akan disarankan untuk diguna pakai termasuklah menggunakan nombor kumpulan pada setiap peket minyak masak supaya dapat mengesan ketirisan barangan tersebut.
Fuziah berpandangan, penggunaan nombor kumpulan pada minyak masak peket dapat membantu membendung ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi tersebut.
Bagaimanapun, jelas beliau, setakat ini, penggunaan nombor kumpulan pada minyak masak paket itu sekadar cadangan namun belum dilaksana.
"Namun, sudah ada syarikat-syarikat yang melaksanakannya, mungkin kita mengambil sebagai amalan terbaik dan mungkin kita akan kaji lebih mendalam, (serta) mungkin ini merupakan satu jalan penyelesaian (isu ketirisan)," katanya.
Dalam perkembangan sama,beliau memaklumkan, pihaknya meneruskan program Kita Gempur di Kedah pada Jumaat selepas Pulau Pinang dan Perlis pada Khamis.
Katanya, pihaknya melakukan pemeriksaan di dua buah kilang memproses ayam di Kepala Batas dan tiga premis runcit sekitar Pantai Johor di Alor Setar, Kedah.
"Dalam serbuan pertama di dua premis yang memproses ayam di sekitar Kepala Batas didapati premis menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi untuk menjalankan perniagaannya.
"Ketika pemeriksaan di kedua-dua kilang,kita menemui penyelia kilang lelaki berusia 40an dan mendapati sebanyak 79 tong LPG bersubsidi digunakan dan berada di premis tersebut," katanya.
Beliau memaklumkan, kesemua LPG berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM 9,742.90 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tambah beliau, pihaknya turut mengambil tindakan dan menyita sejumlah 29 LPG yang dianggarkan bernilai RM771.40 dalam pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Pantai Johor dan kes turut disiasat di bawah akta sama.
Inisiatif Kita Gempur ialah langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.
Kita Gempur dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober dalam usaha menangani ketirisan, di samping memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!