Eogene mengorak langkah ke LA28
PERSEORANGAN lelaki negara, Eogene Ewe mahu mengambil langkah lebih 'besar' bagi mencapai matlamat melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28).
Bagi memastikan landasannya tidak tersasar, pemain nombor 99 dunia itu wajib mendaki ranking dunia bermula dengan memasuki kedudukan 64 teratas tahun depan.
"Saya gembira dengan pencapaian setakat ini memandangkan saya dapat berada dalam 100 teratas tahun ini tetapi saya perlu lakukan yang lebih baik.
"Saya masih belum memiliki kualiti untuk menyaingi pemain ranking lebih tinggi berdasarkan kejohanan sebelum ini di Masters Indonesia II 2024," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, di sini hari ini.
Dalam kejohanan itu, Eogene tersingkir pada pusingan ketiga selepas tewas kepada wakil tuan rumah dan pemain nombor 60 dunia Alwi Farhan, 20-22, 13-21.
Melihat ke hadapan, beliau turut bercita-cita untuk mencecah kedudukan 32 teratas pada 2026 sekali gus mempunyai peluang lebih baik untuk menentang pemain terbaik dunia dalam kejohanan Super 750 atau Super 1000.
Meskipun mengakui berasa tertekan melihat sebahagian bekas rakan sepasukannya digugurkan daripada skuad kebangsaan, namun pemain berusia 19 tahun itu menganggap ia sebagai motivasi untuk beliau membuktikan kemampuan dan memastikan tempatnya dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bulan lepas, BAM memutuskan untuk mengeluarkan 13 pemain daripada pasukan senior termasuk empat pemain perseorangan iaitu Chua Kim Sheng, Ong Zhen Yi, Jacky Kok dan Jan Jireh Lee.
Sehubungan keputusan itu, perseorangan lelaki yang kini masih bernaung di bawah persatuan induk itu terdiri daripada Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh selain Eogene. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!