Wanita hadapi masalah mental hilang dari rumah
KUANTAN - Seorang wanita dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan hilang selepas keluar ke sebuah kedai perkakasan di sebelah stesen minyak di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Dato Rashid di sini sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kehilangan mangsa, Tengku Nor Falihin Tengku Izlan Shah, 34, dilaporkan ibunya jam 11.55 malam hari yang sama.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal bersama keluarga di Taman Dato Rashid keluar ke kedai perkakasan berhampiran kira-kira jam 6 petang selepas mendapat kebenaran ibunya.
"Bagaimanapun mangsa didapati tidak pulang sebelum ibunya keluar mencari di kawasan berhampiran namun gagal menemuinya.
"Pengadu kemudian meminta bantuan penduduk untuk mencari kerana bimbang keselamatan anak perempuannya yang baru keluar hospital selepas menjalani rawatan mental," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, pihak keluarga telah mencari di Terminal Sentral Kuantan (TSK) dan hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa menaiki sebuah bas ekspres menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada hari yang sama.
"Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju berwarna merah dengan 'sweater' berbelang hitam putih lengan panjang, berseluar gelap, tudung hitam berbunga, berselipar dan membawa beg silang hitam," katanya.
Tambah beliau, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik perlu mendapat rawatan setiap bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak mangsa diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!