'Mujur ada tembok, kalau tak nyawa kami melayang'
KUALA SELANGOR - Dua pengawal keselamatan nyaris maut apabila sebuah treler merempuh pondok keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Karang pada Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu berlaku sewaktu Mohd Arif Ariffin, 29, dan rakan sekerjanya, Azmi Mohamed, 55, berada di dalam pondok keselamatan terbabit.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Arif berkata, kejadian berlaku sebaik dia selesai makan dan membasuh tangan di paip yang terletak hanya kira-kira tiga meter dari pondok terbabit.
"Saya kemudian masuk semula ke dalam pondok (keselamatan) dan berbual dengan rakan (Azmi), namun tidak sampai dua minit selepas itu tiba-tiba saya dengar bunyi gegaran dan dentuman kuat.
"Saya dan rakan kemudian terus keluar dari pondok keselamatan dan terkejut mendapati treler merempuh tembok pagar dan pondok keselamatan sekolah ini," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Menurut Mohd Arif, nyawanya masih panjang dan bersyukur kerana tidak berada di luar pondok keselamatan semasa kejadian terbabit.
"Kalau kejadian itu berlaku semasa saya sedang membasuh tangan di paip, mungkin nyawa saya pun melayang," ujarnya.
Azmi berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata dan terkejut apabila terdengar bunyi brek lori itu terlalu kuat sebelum merempuh pondok keselamatan.
"Sebenarnya kami bernasib baik kerana lori yang dari arah Kuala Selangor ini merempuh tembok sekolah terlebih dahulu dan kemudian melanggar pondok keselamatan.
"Jika tiada tembok, mungkin pondok keselamatan ini runtuh dan mengorbankan nyawa kami," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.08 pagi.
"Sejurus tiba di lokasi kejadian, kita dapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 17 tahun terbabas melanggar sebuah kenderaan Naza Citra dan kemudian merempuh tembok serta pondok keselamatan sekolah berkenaan.
"Bagaimanapun kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa, manakala pemandu treler berjaya keluar dengan selamat dan operasi tamat sepenuhnya jam 9.35 pagi," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!